Untung bersih Westports meningkat 6.4% kepada RM273.11 juta pada 4QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Westports meningkat 6.4% kepada RM273.11 juta pada 4QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan – Westports Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.4% kepada RM273.11 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) berbanding RM256.65 juta suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Westports berkata peningkatan itu disokong pertumbuhan pendapatan kontena yang mengimbangi kenaikan perbelanjaan operasi.

 

“Jumlah pendapatan yang diperolehi pada 4QFY2025 pula meningkat kepada RM1.06 bilion berbanding RM675.4 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya,” kata Westports dalam makluman tersebut.

 

Pengendali pelabuhan itu menjangkakan volum kontena pada 2026 akan mencatatkan pertumbuhan positif satu digit.

 

Syarikat turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 11.92 sen sesaham, tertakluk kepada pelan pelaburan semula. 

 

Tarikh kelayakan dan pembayaran akan diumumkan kemudian.

 

Bagi keseluruhan tahun 2025, keuntungan bersih Westports meningkat 11% kepada RM998.31 juta berbanding RM897.99  juta sebelumnya.

 

Pendapatan tahunan syarikat pula meningkat 33% kepada RM3.12 bilion berbanding 2.34 bilion pada FY24. Jumlah dividen bagi tahun ini meningkat kepada 21.85 sen daripada 19.75 sen pada tahun sebelumnya.

 

Namun Westports mengambil langkah berhati-hati mengenai beberapa faktor berpotensi menjejaskan kelancaran operasi pelabuhan dan aliran kontenanya. 

 

Antaranya ialah pengalihan semula Laluan Laut Merah, di mana kapal yang sebelum ini menggunakan laluan alternatif dijangka kembali ke laluan asal yang berisiko mengubah aliran kapal dan jadual pelabuhan.

 

Selain itu, kapasiti pengangkutan yang berlebihan dan penggunaan kapal kontena bersaiz besar di lebih banyak laluan tanpa armada kapal kecil yang mencukupi boleh menyebabkan kesesakan dan kelewatan penghantaran. 

 

Situasi ini berisiko mengganggu keseimbangan dalam rantaian bekalan kontena dan operasi pelabuhan. - DagangNews.com