KUALA LUMPUR 30 Jan - Tasco Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.11 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM14.25 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan prestasi ini disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam segmen rumusan perniagaan domestik (DBS), khususnya dalam bahagian logistik kontrak (CL) dan rantaian bekalan sejuk (CSC).
Kumpulan berkenaan turut melaporkan pendapatan sebanyak RM226.1 juta bagi 3QFY26, menyusut 7.1 peratus daripada RM243.5 juta yang direkodkan pada tempoh suku yang sama tahun sebelumnya.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku tersebut menurun kepada RM12.1 juta berbanding RM13.0 juta pada suku kedua tahun kewangan yang sama," kata Tasco dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih terkumpul bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025 pula menunjukkan kumpulan tersebut mencatatkan jumlah keseluruhan RM28.9 juta daripada hasil sebanyak RM680.2 juta.
Tambahnya, prestasi segmen DBS terjejas ekoran penutupan loji pelanggan utama panel solar yang memberikan impak besar kepada perniagaan pelepasan kastam dan pengangkutan dalam bahagian CL.
Selain itu, bahagian CSC turut mencatatkan penurunan hasil kepada RM95.1 juta daripada RM117.8 juta disebabkan oleh penamatan perkhidmatan oleh pelanggan sektor makanan dan minuman (F&B).
"Sementara itu, bagi segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS), pendapatan Tasco turut terkesan oleh faktor trend penurunan kadar tambang global serta peningkatan kapasiti pasaran," katanya
Keadaan tersebut jelas kumpulan berkenaan, menyebabkan impak secara rantaian apabila bahagian penghantaran melalui udara (AFF) dan menerusi laut (OFF) turut mencatatkan hasil lebih rendah.
Walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar, ia kekal fokus pada strategi pertumbuhan jangka sederhana dan panjang menerusi projek-projek modal utama yang sedang berjalan.
Antaranya, perluasan kapasiti Pusat Logistik Shah Alam (SALC) yang menambahkan ruang kepada 37,161 meter persegi, dan pembangunan gudang Northport, Pelabuhan Klang berkeluasan 27,870 meter persegi.
"Dua projek ini dijangka siap pada pertengahan 2026, dengan Tasco terus mengoptimumkan kecekapan operasi dan memanfaatkan insentif elaun cukai pelaburan (ITA) yang akan tamat pada tempoh sama.
Pengurusannya menyatakan yang mereka terus memberi keutamaan kepada kecemerlangan operasi dan pengurusan kos secara berdisiplin bagi menghadapi risiko kelembapan perdagangan global. - DagangNews.com








