KUALA LUMPUR 16 Jan - Supreme Consolidated Resources Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih kira-kira 8.58% atau sebanyak RM859,000 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.
Keadaan tersebut menyaksikan kumpulan berkenaan memperoleh jumlah keseluruhan hanya sebanyak RM9.15 juta pada FY25 berbanding RM10.01 juta dicatatkan pada tahun kewangan yang sebelumnya.
Penyusutan ini disebabkan oleh perbelanjaan sekali beri yang berkaitan dengan latihan korporat serta perolehan rosak nilai bersih yang lebih rendah pada aset kewangan bagi tempoh tersebut.
"Meskipun keuntungan bersih jatuh, kumpulan ini mencatatkan peningkatan hasil 2.27% kepada RM232.1 juta berbanding RM226.9 juta pada 2024," maklum Supreme Consolidated kepada Bursa Malaysia.
Pertumbuhan pendapatan tersebut didorong oleh jualan tambahan daripada agensi produk 'ambien' baharu yang mula diperoleh kepada pemborong dan peruncit, serta peningkatan eksport ke Myanmar.
Sementara itu, keuntungan kasar adalah RM26.06 juta, meningkat 2.43% daripada FY24, dengan margin untung kasar yang stabil pada 11.2%, manakala dana pemegang saham bertambah kepada RM116.4 juta.
Angka ini kata Supreme Consolidated, melonjak berbanding RM93.1 juta pada FY24, dengan syarikat mengisytiharkan dividen interim satu peringkat 0.50 sen sesaham berjumlah RM2.15 juta bagi FY25.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Richard Wee Liang Huat berkata, pihak pengurusan kumpulan terus komited dalam melaksanakan disiplin kos dan kecekapan operasi bagi melindungi margin syarikat.
"Kami turut optimis terhadap prospek masa depan dengan strategi pertumbuhan agresif melalui pengembangan rangkaian pengedaran di Sarawak dan Sabah serta penambahan produk," kata beliau.
Bagi menyokong inisiatif pertumbuhan ini, Supreme Consolidated merancang untuk melabur dalam peningkatan kapasiti gudang bagi memastikan infrastruktur operasi dapat menampung permintaan
Kumpulan juga terus meneroka peluang perniagaan baharu dengan memanfaatkan hubungan sedia ada bersama lebih 3,000 pelanggan merentasi pelbagai saluran termasuk pasar raya. - DagangNews.com








