KUALA LUMPUR 29 Jan – Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatat peningkatan ketara untung bersih direalisasikan kepada pemegang unit bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, disokong prestasi kukuh aset runcit dan sumbangan penuh daripada hartanah yang diperoleh sebelum ini.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengurusnya Sunway REIT Management Sdn Bhd mengesahkan untung direalisasikan bagi tempoh itu meningkat 18.9% kepada RM112.6 juta berbanding RM94.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, untung direalisasikan kepada pemegang unit melonjak 31.2% kepada RM451.2 juta daripada RM343.8 juta sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan pendapatan yang mampan serta pelaksanaan strategi pengurusan portfolio yang konsisten.
Pendapatan Sunway REIT pada suku keempat 2025 meningkat 3.1% kepada RM227.6 juta, manakala pendapatan harta bersih (NPI) susut kecil 0.4% kepada RM165 juta.
Secara tahunan, pendapatan mencecah RM894.3 juta dan NPI RM658 juta, masing-masing meningkat 16.6% dan 15.5%.
Menurut pemakluman itu, prestasi setahun penuh dipacu oleh sumbangan penuh aset yang diperoleh pada 2024, pemerolehan AEON Mall Seri Manjung pada Julai 2025 serta prestasi kukuh segmen Runcit dan Industri & lain-lain.
Sejajar dengan prestasi kewangan tersebut, pengurus mencadangkan agihan pendapatan per unit (DPU) separuh kedua FY2025 pada paras tertinggi iaitu 8.80 sen, menjadikan jumlah DPU setahun penuh 14.48 sen, melepasi pendapatan direalisasikan sesaham sebanyak 13.18 sen.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Derek Teh Wan Wei berkata, pencapaian DPU tertinggi itu didorong peningkatan 15.5% NPI kepada RM658 juta, selain kejayaan pelaksanaan inisiatif penambahbaikan aset.
“Sunway REIT turut menjana hasil agihan 6.3% dan pulangan keseluruhan 31.2% bagi FY2025, manakala harga unit meningkat 24.9% tahun ke tahun kepada RM2.31 setakat 31 Disember 2025, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap strategi kami,” katanya dalam makluman itu.
Beliau berkata, dari segi pembangunan perniagaan, Sunway REIT telah melengkapkan pemerolehan AEON Mall Seri Manjung pada 25 Julai 2025 serta melupuskan kampus Sunway University & College pada 30 September 2025 pada harga RM613 juta, menghasilkan keuntungan keseluruhan RM41 juta. - DagangNews.com








