KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Sime Darby Bhd melonjak kepada RM654 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 3QFY2026, disokong oleh prestasi lebih baik dalam semua tiga segmen perniagaan serta keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan tanah Malaysian Vision Valley (MVV).
Keuntungan bersih kumpulan meningkat daripada RM193 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan sesaham turut naik kepada 9.6 sen berbanding 2.8 sen sebelum ini.
Namun, tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan tanah berjumlah RM434 juta, keuntungan bersih teras kumpulan masih mencatat peningkatan kukuh sebanyak 55.6% kepada RM263 juta.
Hasil suku tahunan bagaimanapun susut kepada RM15.75 bilion berbanding RM16.31 bilion sebelumnya.
Prestasi mengikut segmen
Segmen industri mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM245 juta, meningkat 10.9% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh margin lebih tinggi bagi peralatan dan sokongan produk di operasi Australia.
Segmen permotoran merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM143 juta, meningkat 25.4% tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan jualan kenderaan elektrik di Singapura serta pendapatan lebih tinggi dan kos operasi lebih rendah di Hong Kong.
Segmen UMW pula mencatat keuntungan sebelum cukai RM196 juta, sedikit lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Dalam masa sama, perniagaan automotif mencatat keuntungan lebih rendah, namun perniagaan pelincir menunjukkan peningkatan prestasi hasil pelarasan inventori pada tempoh sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan, untung bersih Sime Darby meningkat kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil naik sedikit kepada RM52.76 bilion daripada RM52.3 bilion sebelum ini.
Cerminkan Daya Tahan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata keputusan suku ini mencerminkan daya tahan berterusan portfolio kumpulan walaupun berdepan persekitaran operasi yang lebih mencabar.
“Perniagaan teras dalam peralatan industri dan automotif kekal kukuh walaupun berdepan tekanan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah kumpulan kekal berdisiplin dalam pengurusan kos bagi memastikan operasi terus kukuh dalam keadaan tidak menentu, selain terus menumpukan kepada pengukuhan teras perniagaan, mempertahankan pegangan pasaran dan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan. - DagangNews.com








