Untung bersih Pantech susut 36% bagi 9MFY26 akibat permintaan domestik lemah, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Pantech susut 36% bagi 9MFY26 akibat permintaan domestik lemah, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 JanPantech Group Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih teras 9MFY26 sebanyak RM47 juta, turun 36% tahun ke tahun (YoY), selaras dengan jangkaan Phillip Capital.


Bagaimanapun menurut firma penyelidikan tersebut, kemerosotan berkenaan di bawah anggaran pasaran, dan disebabkan oleh faktor permintaan domestik ke atas sektor minyak dan gas (O&G) yang lemah.


Selain itu tambahya, penurunan 11% YoY dalam hasil kepada RM670 juta, terutamanya dari segmen perdagangan yang susut 24% YoY, turut dikenal pasti menjejaskan margin keuntungan kumpulan.


"Kelemahan ini sebahagiannya disebabkan campuran produk yang kurang menguntungkan dan keupayaan operasi Panntech lebih rendah berbanding hasil," kata Phillip Capital dalam notanya hari ini.


Keadaan tersebut jelasnya, sekali gus menyumbang kepada penyusutan margin keuntungan sebelum faedah, cukai, susut niai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak satu mata peratus kepada hanya 15%. 


Justeru firma penyelidikan berkenaan tidak terperanjat apabila tiada sebarang dividen yang diumumkan kumpulan itu bagi 3QFY26 berbanding 1.5 sen pada tempoh suku sama tahun kewangan 2025.


Bagaimanapun kata Phillip Capital, keuntungan suku ketiga lebih tinggi dari suku ke suku (QoQ), dengan hasil RM222 juta, meningkat margin EBITDA kepada 16% berikutan campuran hasil lebih baik.


"Keuntungan bersih teras 3QFY26 meningkat kepada RM19 juta, naik 51% YoY, disokong oleh margin lebih baik, perbelanjaan faedah yang rendah, dan kadar cukai efektif semakin kecil," katanya.


Justeru ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Pantech dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham, berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 8 kali hasil sesaham FY27.


Di samping itu tambah Phillip Capital, nilai semasa saham kumpulan ini dianggap sudah mengambil kira kelemahan keuntungan jangka pendek dan menawarkan profil risiko-ganjaran yang menarik.


Firma berkenaan namun menegaskan risiko utama termasuk permintaan lebih rendah daripada jangkaan, kelewatan projek tidak dijangka, dan kos operasi lebih tinggi. - DagangNews.com