KUALA LUMPUR 29 Jan – Untung bersih KLCCP Stapled Group meningkat 55.3% kepada RM669.3 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM430.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai pula ialah sebanyak RM719 juta, yang tertinggi sejak penyenaraian KLCCP didorong oleh peningkatan hasil dan penilaian semula nilai aset.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KLCCP berkata peningkatan itu sebahagiannya disokong oleh keuntungan nilai wajar sebanyak RM460.1 juta, yang direkodkan terutamanya daripada Suria KLCC dan Menara Berkembar PETRONAS.
“Berdasarkan prestasi ini, kumpulan mengisytiharkan dividen 19.10 sen sesaham untuk suku keempat, menjadikan jumlah dividen tahunan 47.00 sen, meningkat 5.6% berbanding 2024,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Segmen runcit Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 PETRONAS mengekalkan momentum positif, mencatat hasil RM148.2 juta, meningkat 6.1% daripada RM139.6 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi segmen ini meningkat 4.9% kepada RM112.9 juta, disokong oleh kadar penyewaan 98% dan penawaran penyewa baharu serta konsep unik yang mencipta persekitaran runcit lebih menarik.
KLCCP berkata Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pula mencatat hasil RM66.5 juta, sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya.
“Namun, PBT bagi segmen hotel mencapai rekod tertinggi RM11.4 juta, meningkat RM5.9 juta, hasil daripada peningkatan hasil bilik dan pengurangan kos pembiayaan.
“Pendapatan bilik terus menjadi penyumbang utama, disokong oleh penginapan kumpulan dan pelancong serta kadar penghunian tinggi semasa Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.
Segmen pejabat, yang merangkumi Menara Berkembar PETRONAS, Menara 3 PETRONAS, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi, kekal stabil dengan hasil RM145.9 juta dan PBT RM121.7 juta, disokong oleh perjanjian Triple Net Lease dan kontrak sewa jangka panjang.
Segmen perkhidmatan pengurusan mencatat pertumbuhan ketara dengan hasil meningkat 23.2% kepada RM154.5 juta, manakala PBT naik kepada RM28.1 juta, didorong oleh aktiviti penyelenggaraan yang dirancang dan peningkatan hasil parkir.
Bagi keseluruhan 2025, KLCCP Stapled Group mencatat hasil rekod RM1.7 bilion, dengan PBT RM1.4 bilion termasuk keuntungan nilai wajar hartanah.
Segmen runcit mencatat PBT RM450.9 juta, meningkat 2.8%, dengan jumlah pengunjung meningkat 9% berikutan penawaran jenama baru, program pengalaman unik dan aktiviti berimpak tinggi seperti Kuala Lumpur Fashion Week dan Suria KLCC Picnic in the Park.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata prestasi 2025 mencerminkan kekuatan portfolio pelbagai, aliran tunai stabil dan pengurusan modal yang berdisiplin.
“Langkah peningkatan aset dan sistem kemudahan sepanjang tahun telah memperkukuh prestasi aset, menambah nilai jangka panjang, dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Melangkah ke 2026, kumpulan kekal fokus kepada memajukan keutamaan strategik, memperkuat perniagaan teras, dan menambah nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.
Program Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka membuka peluang bagi segmen runcit dan hospitaliti, dengan Suria KLCC dan Hotel Mandarin Oriental terus menarik pengunjung serta penginapan premium.
KLCCP Stapled Group, gabungan KLCC Property Holdings Berhad dan KLCC REIT adalah struktur stapled terbesar di Malaysia yang mengurus aset ikonik termasuk Menara Berkembar PETRONAS, Menara ExxonMobil, Menara 3 PETRONAS, Suria KLCC dan Hotel Mandarin Oriental selain pegangan 33% di Menara Maxis. - DagangNews.com








