Untung bersih Dutch Lady naik 6.2% kepada RM23.4 juta pada Q2, disokong operasi kilang baharu Bandar Enstek  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Dutch Lady naik 6.2% kepada RM23.4 juta pada Q2, disokong operasi kilang baharu Bandar Enstek 

Seorang pekerja mengendalikan mesin pengeluaran produk tenusu di kilang Dutch Lady di Bandar Enstek, Negeri Sembilan. - Gambar fail
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melaporkan keputusan lebih kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), disokong oleh pertumbuhan hasil dan peningkatan kecekapan daripada operasi baharunya di Bandar Enstek.

 

Keuntungan bersih syarikat tenusu itu meningkat 6.2% kepada RM23.4 juta berbanding RM22 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil pula naik 4.1% tahun ke tahun kepada RM375.6 juta daripada RM360.7 juta sebelum ini, didorong permintaan kukuh bagi portfolio utama susu cecair Dutch Lady, prestasi mantap saluran profesional serta sumbangan daripada inovasi produk terbaharu.

 

Keuntungan operasi meningkat 11.4% kepada RM33.9 juta berbanding RM30.5 juta pada 2QFY24, berikutan penurunan kos peralihan sekali sahaja kepada RM5.6 juta berbanding RM14.7 juta setahun lalu.

 

Tidak termasuk kos perpindahan, keuntungan operasi adalah RM39.6 juta berbanding RM45.2 juta pada tahun sebelumnya, dengan syarikat meningkatkan perbelanjaan pemasaran bagi menyokong pertumbuhan jenama.

 

Dalam kenyataannya, Pengarah Urusan DLMI, Veronika Utami berkata keputusan terbaharu itu mencerminkan momentum operasi yang telah dibina syarikat seiring dengan kejayaan perpindahan ke Bandar Enstek.

 

“Fasiliti DLMI@Enstek memberikan kapasiti dan penambahbaikan kecekapan yang kami usahakan. Keputusan ini menunjukkan momentum yang kini diterjemahkan kepada prestasi kewangan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya, Julai lalu menandakan pencapaian penting apabila pusat pengedaran baharu DLMI mula beroperasi sepenuhnya selepas perasmiannya pada 30 Mei. Integrasi pusat itu melengkapkan perjalanan pemodenan infrastruktur DLMI, menggabungkan pembuatan bertaraf dunia dengan hab pengedaran bersepadu yang menurut syarikat menetapkan penanda aras baharu untuk industri tenusu negara.

 

“DLMI@Enstek memberi kami landasan untuk pertumbuhan pintar — memastikan produk kami kekal mampu milik untuk keluarga Malaysia sambil mengekalkan keuntungan yang diperlukan bagi terus melabur dalam inovasi dan tenaga kerja. Sambutan pasaran terhadap produk teras kami amat menggalakkan,” ujar Utami.

 

Kumpulan itu mengakui inflasi bahan mentah tenusu global terus menekan margin, namun keuntungan kecekapan daripada Bandar Enstek serta integrasi rantaian bekalan dijangka dapat mengimbangi tekanan tersebut. DLMI juga meneruskan langkah pengoptimuman portfolio dengan menamatkan beberapa produk bukan teras pada 2024 bagi menumpukan kepada penawaran produk tenusu Halal yang paling mendapat sambutan pengguna Malaysia.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, turun naik harga komoditi dan kadar pertukaran asing, DLMI kekal optimis terhadap prospek masa depan. Syarikat yakin kedudukan jenama yang kukuh, tumpuan pengguna terhadap pemakanan sihat serta usaha kerajaan memperkukuh sektor tenusu domestik akan terus menyokong pertumbuhan.

 

Sebagai sebahagian daripada Royal FrieslandCampina NV, DLMI menegaskan komitmennya untuk memperkukuh sektor tenusu tempatan dengan terus menjadi pembeli utama susu segar domestik di samping menyokong program pembangunan penternak bagi meningkatkan jumlah pengeluaran serta piawaian kualiti.

 

“Kami telah membina platform untuk pertumbuhan mampan. Dengan DLMI@Enstek, kami mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap peluang pasaran sambil kekal setia kepada tujuan kami Nourishing Our Planet and People in Every Stage of Life,” kata Utami. - DagangNews.com