KUALA LUMPUR 22 Jan - CEKD Berhad mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kepada RM2.08 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025 (1QFY26), berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia menurun 10.5% daripada RM2.32 juta yang dicatatkan pada 1QFY25 disebabkan keuntungan kasar lebih rendah akibat peningkatan kos jualan serta perbelanjaan pentadbiran yang semakin tinggi.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) merosot kepada RM2.77 juta daripada RM3.05 juta pada 1QFY25 juga dikaitkan dengan faktor kos.
"Bagaimanapun kumpulan ini masih mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM10.71 juta bagi tempoh 1QFY26, melonjak daripada RM9.61 juta pada suku koresponden tahun lalu," kata CEKD.
Pertumbuhan ini jelas kumpulan berkenaan, didorong terutamanya oleh sumbangan daripada anak-anak syarikat yang baru diperoleh dan kemudian digabungkan bersama dalam tempoh tiga bulan tersebut.
Justeru, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026, proses pembayaran akan dilaksanakan pada 6 Mac 2026.
Sementara itu kata CEKD, pendapatan sesaham (EPS) asas bagi suku tersebut adalah 1.01 sen, turun sedikit berbanding 1.07 sen pada 1QFY25, dengan kedudukan kewangan kumpulan masih lagi kukuh.
"Setakat 30 November 2025, aset bersih sesaham syarikat ini berjaya meningkat kecil kepada 40 sen berbanding 39 sen pada 31 Ogos 2025, dalam persekitaran operasi yang dinamik," tambahnya lagi.
Melangkah ke hadapan, kumpulan berkenaan tetap berwaspada dalam mengemudi landskap pasaran kompetitif, serta menumpukan usaha kepada pengoptimuman kos operasi dan kecekapan pengeluaran.
Langkah ini jelas CEKD, bagi mengekalkan kualiti produk selaras piawaian industri, selain syarikat terus bersedia untuk meneroka peluang pengembangan perniagaan di dalam dan luar negara.
Ia juga memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam pasaran sasaran, serta mengambil maklum mengenai penstabilan aktiviti pembuatan di Malaysia berdasarkan senario semasa. - DagangNews.com








