KUALA LUMPUR 12 Sept - Bermaz Auto Bhd (BAuto) melaporkan kejatuhan 88.2% dalam untung bersih kepada RM8.28 juta bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2025 (1Q26), berbanding RM70.22 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong oleh hasil lebih rendah serta persaingan sengit yang menekan prestasi syarikat.
Hasil suku tahunan merosot 41.9% kepada RM491.28 juta, berbanding RM846.18 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan oleh penurunan jualan domestik bagi beberapa model Mazda dan Kia yang hampir menamatkan kitaran produk masing-masing.
BAuto berkata keadaan pasaran turut tertekan dengan kemasukan kenderaan buatan China yang semakin mendapat tempat melalui strategi harga rendah secara agresif.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat tunggal sebanyak 7.5 sen sesaham, yang akan dibayar pada 5 November 2025.
Sebagai langkah sementara mengimbangi kelembapan, BAuto telah melancarkan dua model hibrid plug-in Mazda baharu — CX-60 dan CX-80 — pada 3 September, kedua-duanya menerima tempahan yang memberangsangkan.

Permintaan kukuh juga direkodkan untuk Mazda3 1.5L yang dijadual dilancarkan pada akhir Oktober ini.
Walaupun pelancaran baharu ini dijangka memberi sumbangan positif pada suku berikutnya, BAuto memberi amaran bahawa tahun kewangan 2026 akan terus mencabar, dengan mengambil kira tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik dan pertumbuhan global yang lembap. - DagangNews.com








