KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih Genting Malaysia Bhd melonjak lebih dua kali ganda kepada RM416.75 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding RM82.24 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata peningkatan berkenaan disokong oleh keuntungan pertukaran asing berjumlah RM184.6 juta hasil pengukuhan ringgit berbanding dolar AS memandangkan sebahagian besar hutangnya adalah dalam mata wang asing.
Perolehan meningkat 9.3 peratus kepada RM2.918 bilion pada suku kedua 2025 berbanding RM2.669 bilion sebelumnya. Tiada dividen diumumkan bagi tempoh tersebut.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2025, untung bersih Genting Malaysia melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM489.33 juta, manakala hasil meningkat 1.5 peratus kepada RM5.513 bilion.
Genting Malaysia kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang dalam sektor riadah dan hospitaliti.
Syarikat itu berkata, tumpuan operasi di Malaysia adalah untuk meningkatkan jumlah pengunjung dan aktiviti perniagaan di Resorts World Genting menerusi usaha pemasaran serta tarikan baharu ekopelancongan.
Bagi operasi di United Kingdom, Genting Malaysia menjangkakan pertumbuhan hasil daripada perubahan peraturan mesin permainan yang membolehkan lebih banyak mesin ditempatkan di kasino.
Menurutnya, proses integrasi Genting Casino Stratford telah selesai dengan lebih banyak peluang pengembangan sedang dipertimbangkan.
“Bagi pasaran Amerika Syarikat, fokus adalah terhadap bidaan menjadikan Resorts World New York City sebagai pusat peranginan bersepadu bernilai AS\$5.5 bilion (RM23.2 bilion) serta pelaksanaan pelan penstrukturan Empire Resorts,” katanya. - DagangNews.com








