KUALA LUMPUR 15 Jun - Universiti INCEIF terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan sebagai institusi pendidikan kewangan Islam nombor satu dunia oleh badan akreditasi Salaam Gateway dan firma penyelidikan DinarStandard baru-baru ini.
Dalam rangking yang dikeluarkan April lalu, Malaysia mendominasi sembilan daripada 30 senarai institusi pendidikan global yang menawarkan pengajian kewangan Islam dengan Universiti INCEIF menduduki senarai teratas menerusi 86 mata.
Ini mencerminkan kualiti insitusi berusia 21 tahun itu menerusi pengkhususannya dalam pendidikan kewangan Islam, sokongan ekosistem yang kukuh serta integrasi mendalam dengan industri.
Pengiktirafan itu melengkapkan akreditasi antarabangsa yang sebelum ini diperoleh Universiti INCEIF menerusi AACSB International (AACSB). Sehingga kini badan akreditasi yang ditubuhkan pada 1916 bagi menyediakan akreditasi kepada sekolah-sekolah perniagaan di seluruh dunia hanya mengiktiraf 6 peratus daripada sekolah perniagaan di seluruh dunia termasuk Universiti INCEIF.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti INCEIF, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Azmi Omar berkata, pengiktirafan itu sekali gus mengesahkan peranan Universiti INCEIF sebagai universiti global kewangan Islam dan tonggak utama dalam ekosistem ekonomi Islam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Analisis terkini oleh Salaam Gateway menonjolkan kepimpinan Malaysia sebagai hab global bagi pendidikan perniagaan yang berfokuskan ekonomi Islam, disokong oleh ekosistem bersepadu yang menghimpunkan institusi akademik, industri dan badan pengawal selia dalam membangunkan bakat masa depan untuk ekonomi Islam yang semakin berkembang.
"Dalam ekosistem ini, Universiti INCEIF memainkan peranan penting membentuk pendidikan yang relevan dengan keperluan industri menerusi integrasi kukuh antara pembelajaran akademik dan amalan pasaran sebenar dalam bidang kewangan Islam, teknologi kewangan (fintech) dan perniagaan mampan," katanya kepada DagangNews baru-baru ini.
Mohd. Azmi menambah, selepas menyambut ulang tahun penubuhannya ke 20 tahun pada tahun lalu, pengiktirafan besar yang tidak dijangka itu memberikan cabaran baharu kepada Universiti INCEIF mengekalkan kecemerlangan berkenaan.
Dalam hal ini, universiti akan sentiasa melihat kualiti kurikulum yang ditawarkan agar selari dengan kehendak industri dan mampu berdepan cabaran persekitaran ekonomi semasa.

"Lebih penting graduan dikeluarkan bukan sahaja menepati keperluan masa sekarang tetapi masa depan yang lebih kompleks, dipacu teknologi yang berkembang pantas," katanya.
Sehubungan itu tambahnya, penglibatan wakil industri dalam penggubalan dan semakan kurikulum akan diteruskan untuk memastikan universiti terus relevan dalam semua bidang kewangan Islam termasuk perbankan, insurans dan pasaran ekuiti.
Mohd Azmi berkata, sesuai dengan strategi serampang dua mata meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam dunia, lebih 50 peratus pelajar Universiti INCEIF daripada luar negara.
Katanya, ini penting untuk terus menjadikan Malaysia pusat pengeluar bakat terbaik dalam kewangan Islam, selain rujukan negara dari seluruh dunia yang telah mula memperkenalkan kewangan Islam di negara masing-masing.
"Untuk itu kita juga memberi tumpuan menyediakan latihan kepada tenaga profesional dari luar negara, serta pihak berkuasa atau pentadbir dari negara luar termasuk dari bak-bank pusat, kementerian dan pasaran kewangan.
"Semua ini akan terus menjadikan Malaysia secara amnya, dan Universiti INCEIF secara khusus paksi kepada kewangan Islam dunia," katanya.

Mohd. Azmi menambah, apa yang berlaku hari ini seharusnya disoroti 20 tahun lalu apabila Inceif ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia dan idea penubuhannya datang dari Gabenor BNM pada waktu itu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
"Untuk menjadi pusat global kewangan Islam, salah satu syarat utamanya perlu mempunyai bakat yang betul dan melahirkan bakat bukan sahaja untuk Malaysia tetapi global.
"Sejak 2005 hingga sekarang Universiti Inceif telah menghasilkan kira-kira 2,800 graduan pascasiswazah dari lebih 90 negara iaitu melebihi jumlah negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 57 negara.
"Ini menunjukkan Universiti INCEIF sudah diterima dan diiktiraf nombor satu dalam dunia," katanya.
Sementara itu, Salaam Gateway yang dilancarkan pada Oktober 2015 merupakan platform berita dan analisis terkemuka dunia yang memfokuskan kepada ekonomi Islam global.

DinarStandard pula firma penyelidikan strategi pertumbuhan dan khidmat nasihat khusus yang membantu organisasi di seluruh dunia dengan tumpuan kepada ekonomi beretika/halal, inovasi kerajaan dan impak sosial.
Selain bekerjasama dengan Saalam Gateway menerbitkan rangking 30 Sekolah Perniagaan Terbaik dalam Ekonomi Islam, DinarStandard menyediakan Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang menjadi penanda aras utama industri serta pandangan strategik bagi sektor seperti kewangan Islam
AACSB atau Association to Advance Collegiate Schools of Business ialah sebuah organisasi profesional dan badan akreditasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1916 bagi menyediakan akreditasi kepada sekolah-sekolah perniagaan.
AACSB merupakan satu daripada tiga badan akreditasi utama bagi program pengajian perniagaan di peringkat global. - DagangNews.com








