KUALA LUMPUR 28 Jan – Unique Fire Holdings Berhad kini meneroka sektor baharu iaitu tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui pembangunan loji solar berskala besar (LSS) berkapasiti 95 megawatt (MW) di Hilir Perak, sebagai sebahagian daripada pelan diversifikasi perniagaannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Unique Fire berkata cadangan usahasama itu melibatkan kerjasama anak syarikatnya, Unique Green Energy Sdn Bhd dengan HEB Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh HSS Engineers Berhad.
“Bagi membangunkan projek solar tersebut, satu syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Unique HEB Energy Sdn Bhd telah diperbadankan pada 17 Januari 2025, dengan pegangan saham 60% oleh Unique Green dan 40% oleh HEB Energy,” katanya dalam makluman tersebut.
Unique Fire sebelum ini telah menyertai bidaan LSS5 di bawah Pakej 3 dan menerima surat pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga pada 23 Disember 2024 yang mengesahkan konsortium tersebut terpilih sebagai pembida tersenarai.
Pada 19 Mac 2025, Unique HEB telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di mana syarikat itu akan membina, memiliki dan mengendalikan loji solar tersebut serta menjual tenaga elektrik kepada TNB bagi tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial.
Syarikat tersebut berkata jumlah kos pembangunan projek solar itu dianggarkan antara RM300 juta hingga RM350 juta, dengan pembiayaan diperoleh melalui gabungan langganan saham, pendahuluan pemegang saham dan pinjaman bank yang dijamin oleh Unique Fire mengikut kadar pegangan ekuitinya.
“Sebagai sebahagian daripada cadangan tersebut, Unique Fire akan menyediakan bantuan kewangan kepada Unique HEB sehingga maksimum RM309.95 juta, termasuk pendahuluan pemegang saham sehingga RM43.2 juta serta jaminan korporat sehingga RM266.75 juta bagi kemudahan pembiayaan bank.
“Oleh kerana jumlah bantuan kewangan itu melebihi lima peratus daripada aset ketara bersih kumpulan, syarikat akan mendapatkan kelulusan pemegang saham selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia,” katanya.
Cadangan kepelbagaian perniagaan pula akan menyaksikan Unique Fire mengembangkan operasi sedia ada dalam sistem perlindungan kebakaran kepada sektor tenaga boleh diperbaharui, yang dijangka menjadi segmen perniagaan baharu kumpulan.
Lembaga pengarah menjangkakan bahawa perniagaan tenaga boleh diperbaharui itu berpotensi menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih kumpulan pada masa hadapan.
Namun, ia memerlukan kelulusan pemegang saham di mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan kelak.
Dari segi pelaksanaan projek, Unique HEB telah melantik North Consult Engineering Sdn Bhd sebagai jurutera perunding bebas, manakala Samaiden Sdn Bhd, anak syarikat Samaiden Group Berhad, telah dianugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek tersebut.
Kerja-kerja pembangunan dijangka bermula pada separuh pertama 2026, dengan sasaran pentauliahan dan permulaan operasi komersial pada suku keempat 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan ketiadaan sebarang keadaan luar jangka.
Menurut lembaga pengarah, cadangan usahasama ini membolehkan Unique Fire mengurangkan pendedahan kewangan dengan berkongsi kos pembangunan bersama rakan kongsi strategik yang berpengalaman dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek.
Lembaga itu turut berpendapat bahawa cadangan berkenaan adalah sejajar dengan hala tuju peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta berpotensi menyumbang kepada pendapatan berulang jangka panjang dan peningkatan nilai kepada pemegang saham. - DagangNews.com








