KUALA LUMPUR 20 Ogos - Uni Wall APS Holdings Berhad bercadang memindahkan penyenaraian sahamnya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dalam usaha meningkatkan profil korporat serta mengembangkan asas pemegang sahamnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata cadangan pemindahan tersebut susulan surat cadangan yang diterima daripada Hysiow Holdings Sdn Bhd, Pengerusi Eksekutif Siow Hon Yong dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Siow Hon Yuen.
Lembaga Pengarah telah melantik NewParadigm Securities Sdn Bhd sebagai Penasihat Utama bagi menguruskan proses berkenaan.
Cadangan itu merangkumi dua komponen iaitu penarikan balik secara sukarela penyenaraian Uni Wall di Pasaran LEAP serta penyenaraian semula keseluruhan modal sahamnya di Pasaran ACE.
Setakat 18 Julai lalu, modal saham terbitan Uni Wall berjumlah RM15.06 juta terdiri daripada 731.4 juta saham biasa.
Sebagai pemegang saham utama, Hysiow Holdings menguasai 87.5% saham Uni Wall manakala Siow Hon Yong dan Siow Hon Yuen masing-masing turut berkepentingan besar melalui pegangan langsung dan tidak langsung. Puan Fong Soo Foon, isteri kepada Siow Hon Yong, turut disenaraikan sebagai pemegang saham yang berkaitan.
Langkah penyenaraian di Pasaran ACE dijangka memberi Uni Wall akses lebih luas kepada pasaran modal, selain meningkatkan keterlihatan dan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan masa hadapan syarikat.
Cadangan pemindahan penyenaraian itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, Bursa Malaysia serta pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com








