KUALA LUMPUR 30 Jan – UMediC Group Berhad (UMC) telah menandatangani perjanjian pajakan tanah perindustrian seluas 1.2 hektar (3.06 ekar) di Taman Perindustrian Batu Kawan 3, Pulau Pinang bagi membina kilang pembuatan baharu.
Langkah itu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat terhadap produk bahan guna perubatan kumpulan itu, sambil memperkukuh kapasiti pengeluaran bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Anak syarikat milik penuhnya, UWHM Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian pajakan selama 60 tahun dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), dengan nilai pajakan berjumlah RM11.4 juta yang akan dibayar secara berperingkat menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Kilang itu akan menempatkan pengeluaran produk pembuatan baharu, sekaligus memberikan ruang tambahan kepada kilang sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran HydroX series Prefilled Humidifier, produk yang kini dieksport ke kira-kira 40 negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UMediC, Lim Taw Seong, pembelian tanah ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh asas pembuatan kumpulan dan memastikan operasi mampu berkembang selari dengan permintaan pasaran yang semakin pesat.
“Peningkatan kapasiti pengeluaran bukan sahaja memastikan bekalan lebih stabil, malah membolehkan kami memperluas portfolio produk dan menembusi pasaran baharu dengan lebih efisien,” katanya.
UMediC berkata kilang baharu itu akan menjadi pemangkin utama bagi fasa pertumbuhan seterusnya, di mana operasi yang lebih cekap dapat menyokong skala pengeluaran yang lebih besar dan kepelbagaian produk yang lebih luas.
Langkah itu juga menegaskan komitmen UMediC untuk menjadi penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu, dari pembangunan dan pembuatan sehingga pengedaran produk, sekaligus meningkatkan nilai jangka panjang kepada pelabur.
HydroX series Prefilled Humidifiers telah mencapai pengiktirafan global dengan pensijilan Halal dan Conformité Européenne (CE), manakala produk baharu AirdroX series inhaler spacers dijangka membuka pasaran tambahan yang signifikan. - DagangNews.com








