Ulu Slim berpotensi jana 160MW tenaga geoterma – penyelidik UKM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ulu Slim berpotensi jana 160MW tenaga geoterma – penyelidik UKM

Salina Samsudin mendengar taklimat Prof Madya P.Geol. Dr Mohd Hariri Arifin mengenai alat pengukuran geoterma sempena Minggu Geoterma Antarabangsa Malaysia 2025 di Ulu Slim, Perak pada 7 Oktober 2025. - Gambar UKM
Oleh JOHARDY IBRAHIM

ULU SLIM 10 Okt - Malaysia berpotensi menjana sehingga 160 megawatt tenaga elektrik daripada sumber geoterma di Ulu Slim, hasil kajian awal yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.

 

Pembuktian konsep yang kini dilaksanakan diharap dapat meyakinkan lebih ramai pihak bahawa negara mampu membangunkan tenaga geoterma berskala besar pada masa hadapan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Geoterma Antarabangsa Malaysia 2025 (IGWM2025) pada 7 Oktober lalu, mewakili Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad.


 

Salina Samsudin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin berucap merasmikan Minggu Geoterma Antarabangsa Malaysia 2025 (IGWM2025) di Ulu Slim, Perak pada 7 Oktober 2025. - Gambar UKM

 


Salina menzahirkan rasa bangga terhadap penemuan potensi tenaga geoterma di negeri itu yang mempunyai 25 lokasi air panas, termasuk di Ulu Slim dan Sungai Klah, dengan suhu permukaan melebihi 90 darjah Celsius.

 

“Kajian ini menunjukkan potensi besar tenaga geoterma sebagai sumber tenaga baharu negara. Dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk industri dan akademia, kita dapat memastikan pembangunan tenaga hijau ini memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri,” ujar beliau.

 

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta seperti Majuperak Holdings Berhad, RISDA, JAKOA, serta pemilik tanah persendirian dalam memanfaatkan sumber tenaga semula jadi tersebut.

 

Menurutnya, potensi tenaga elektrik dari Ulu Slim juga mampu menyokong inisiatif hijau kerajaan, termasuk menyumbang kepada operasi kilang Proton di Tanjung Malim.

 

Majlis perasmian IGWM2025 yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Ulu Slim, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, penyelidik, pemain industri serta komuniti tempatan bagi memperkukuh usaha pembangunan tenaga geoterma negara.


 

UKM

 

UKM

 

UKM

 


Program IGWM2025, yang berlangsung dari 5 hingga 8 Oktober 2025, dianjurkan oleh Geothermal Resources Sdn Bhd (GRSB) — sebuah syarikat pemula Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) — dengan sokongan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM.

 

Acara ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Persidangan Geoterma Antarabangsa Malaysia 2024 (MIGC2024) dan akan diteruskan dengan MIGC2027, yang dirancang diadakan secara unik di atas kapal persiaran menuju Krabi, Thailand, bagi lawatan ke beberapa lokasi mata air panas di rantau tersebut.

 

Sementara itu, Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana) UKM, menegaskan kepentingan penubuhan Pusat Penyelidikan Geoterma Ulu Slim.


 

 Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani
                                       Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani

 


“Pusat ini diharapkan menjadi mercu tanda penyelidikan tenaga baharu negara hasil kerjasama erat antara industri dan akademia,” katanya.

 

Beliau turut menyarankan agar penganjuran IGWM diperluaskan ke lokasi air panas lain di seluruh negara memandangkan Malaysia mempunyai lebih daripada 60 lokasi air panas berpotensi.

 

Sebagai simbol sokongan terhadap usaha memperkenalkan tenaga geoterma kepada masyarakat, Pos Malaysia turut melancarkan setem khas yang memaparkan tiga lokasi utama iaitu Ulu Slim (Perak), Lojing (Kelantan) dan Apas Kiri (Sabah).

 

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang IGWM2025 termasuk pertandingan memancing, kenduri rakyat, pameran industri, serta sesi perkongsian penyelidikan termasuk daripada Prof Madya P.Geol. Dr Mohd Hariri Arifin, Presiden Persatuan Geologi Malaysia yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

 

Program ini bukan sahaja menghubungkan komuniti dengan dunia akademia dan industri, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu melalui tenaga hijau, pelancongan, pertanian, dan pembangunan bandar lestari berasaskan sumber geoterma. - DagangNews.com