U Mobile lantik lapan rakan strategik bangunkan 5G-Advanced dan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

U Mobile lantik lapan rakan strategik bangunkan 5G-Advanced dan AI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 JanU Mobile melantik sejumlah lapan syarikat teknologi sebagai rakan strategik bagi menguji serta mengkomersialkan penggunaan 5G-Advanced (5G-A) dan kecerdasan buatan (AI).


Pembangunan tersebut akan dilaksanakan menerusi pelancaran Platform Inovasi Syarikat (EIP), selaras dengan usaha kumpulan telekomunikasi berkenaan untuk mempercepatkan agenda pendigitalan negara.


Katanya, EIP diwujudkan sebagai platform neutral yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula, institusi akademik serta agensi sektor awam membangunkan bukti konsep.


"Peserta juga boleh memajukan projek perintis yang berasaskan 5G-A tanpa perlu lagi bergantung kepada mana-mana pembekal dari rangkaian tertentu," kata UMobile dalam satu kenyataan hari ini.


Sebagai sokongan kepada inisiatif itu, ia merancang melancarkan Hab EIP fizikal dan persekitaran ujian terkawal atau ‘sandbox’ pada Julai 2026, berpaksikan pendekatan 'bangun dan demonstrasi'.


Selain itu tambah kumpulan berkenaan, usaha tersebut juga memastikan rumusan prototaip yang sudah dibangunkan peserta akan bersedia untuk penggunaan kepada realiti dunia sebenar secara komersial.


Lapan rakan paling awal EIP jelasya, dibahagikan kepada dua kategori, antaranya ialah Rakan Teras yang merangkumi Amazon Web Services, Huawei Malaysia, Palo Alto Networks dan Qualcomm.


"Mereka bakal menyediakan teknologi asas termasuk infrastruktur awan, 5G-A, keselamatan siber dan peranti pintar," kata UMoble, manakala Rakan Teknologi mengandungi baki empat lagi syarikat. 


Ia terdiri Braintree Technologies, China Mobile International Malaysia, Meraque Group dan ZTE Malaysia yang bertanggungjawab menyumbang kepakaran aplikasi secara merentas sektor tertentu.


Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, antaranya termasuk pertanian pintar, automasi, dron, robotik dan rangkaian AI yang lazim menjadi tumpuan kebanyakan pengguna ketika ini.


Beliau menambah, EIP direka sebagai ekosistem terbuka bagi mempercepatkan penggunaan teknologi 5G-A dan AI, sambil menyokong aspirasi digital dan AI negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


"Hab EIP akan dilengkapi kemudahan seperti akses 5G-A, awan dan ‘edge’, makmal peranti internet benda (IoT), zon rangkaian persendirian serta zon demonstrasi langsung," katanya dalam kenyataan.


Di samping itu, platform berkenaan turut mengandungi alat simulasi ‘network slicing’, persekitaran digital kembar dan kit realiti terimbuh serta realiti maya. - DagangNews.com