TVET kian jadi pilihan lepasan SPM, tawar prospek kerjaya lebih baik - Ramanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TVET kian jadi pilihan lepasan SPM, tawar prospek kerjaya lebih baik - Ramanan

Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dan Dato’ Shamir Aziz pada Program Sumbangan Pelajar Cemerlang anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Kota Damansara, 9 Mei 2026. - Gambar HRD Corp
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Mei - Pembangunan kemahiran dan peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat semakin penting dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan yang lebih cerah.

 

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, institusi TVET di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) seperti Kolej ADTEC terus mencatat pencapaian memberangsangkan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.5 peratus.

 

"Ini sekali gus membuktikan laluan kemahiran mampu menawarkan prospek kerjaya yang baik kepada generasi muda," kata beliau ketika merasmikan Program Sumbangan Pelajar Cemerlang anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Kota Damansara pada Sabtu lalu.

 

Program itu meraikan seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 12 sekolah di sekitar Sungai Buloh dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM318,900.

 

HRDCorp
Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada penerima sumbangan semasa Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025.

 

Majlis berkenaan turut menghimpunkan kira-kira 2,000 hadirin terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan pendekatan seluruh masyarakat dalam memupuk bakat masa depan negara.

 

Inisiatif itu bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah menggalakkan pembangunan berterusan dalam kalangan generasi muda selari dengan usaha KESUMA dan HRD Corp memperkukuh pembangunan kemahiran serta kebolehpasaran tenaga kerja masa depan.

 

Pendekatan lebih inklusif turut diketengahkan menerusi penghargaan kepada pelajar yang memperoleh keputusan 4A dan ke atas, bukan hanya pelajar dengan keputusan tertinggi.

 

Menurut HRD Corp, pendekatan tersebut mencerminkan keyakinan bahawa setiap pencapaian mempunyai nilai tersendiri dan wajar diberikan pengiktirafan serta galakan untuk terus melangkah maju.


 

HRDCorp
Dato’ Shamir Aziz

 


Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata, inisiatif seperti itu bukan sahaja bertujuan mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus berusaha membina masa depan yang lebih baik.

 

“Kejayaan tidak datang dengan mudah. Teruskan bekerja keras, percaya kepada diri sendiri dan jangan lupa ibu bapa yang sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan hidup kita.

 

“Walau sejauh mana kita melangkah dalam kehidupan, pada mereka kita tetap anak kecil yang sentiasa mereka doakan kejayaannya,” katanya.

 

Menerusi inisiatif seperti itu, HRD Corp terus memacu agenda MADANI dengan memperkasa individu, mengangkat komuniti serta membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan negara.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Dr. Hj. Mohd Shaharin Umar dan Pengerusi HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar. - DagangNews.com