Tune Protect catat impak sosial kukuh 2025, lebih 2,500 jam sukarelawan digerakkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect catat impak sosial kukuh 2025, lebih 2,500 jam sukarelawan digerakkan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Kumpulan Tune Protect Berhad mengakhiri tahun 2025 dengan pencapaian impak sosial yang ketara apabila mencatatkan 2,525 jam kerja sukarela menerusi pelbagai inisiatif kebaikan korporat.

 

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju insurans yang memacu nilai melangkaui prestasi perniagaan semata-mata.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Tune Protect berkata, inisiatif tersebut memfokuskan kepada kelestarian persekitaran, keterjaminan makanan dan literasi kewangan, sejajar dengan visi kelestarian kumpulan, In Tune for a Better Tomorrow. 

 

Sepanjang tahun, lebih 400 pekerja, mewakili lebih 90% tenaga kerja kumpulan, digerakkan untuk melaksanakan program turun padang yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Malaysia.

3

 

Menurut Tune Protect, pencapaian itu meletakkan kumpulan di landasan kukuh untuk merealisasikan sasaran menyumbang 6,000 jam kerja sukarela bagi tempoh 2025 hingga 2027, dengan fokus kepada pemuliharaan persekitaran, pemerkasaan komuniti serta sokongan kepada golongan belia dan generasi masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Strategi Tune Protect merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, Koot Chiew Ling berkata, tahun 2025 merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Corporate Good kumpulan.

 

“Tahun 2025 menandakan pencapaian penting apabila kami melangkah lebih dekat dengan komitmen untuk menyumbangkan 6,000 jam kerja sukarela bagi tempoh 2025 hingga 2027. Dengan menggerakkan tenaga kerja bagi pemuliharaan persekitaran dan literasi kewangan, syarikat menonjolkan tujuan kami yang melangkaui perkhidmatan insurans,” katanya.

 

Tambah beliau, melalui kerjasama strategik bersama rakan media, pihak berkuasa tempatan dan komuniti, Tune Protect berhasrat mencapai hasil yang bermakna sambil mengukuhkan komitmen ESG serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada komuniti yang dilayani.

 

Antara sorotan utama 2025 ialah kerjasama Tune Protect dengan Harian Metro di bawah program Titipan Kasih Syawal Harian Metro, yang berlangsung pada 16 April 2025 di Pantai Bumi Hijau, Kampung Banting, Sabak Bernam. 

 

2

 

Program itu menghimpunkan 84 sukarelawan Tune Protect dan 20 sukarelawan Harian Metro, bersama pemimpin tempatan dan penduduk, bagi menangani cabaran persekitaran komuniti pesisir pantai.

 

Menurut Tune Protect, inisiatif tersebut merangkumi penanaman 500 anak pokok bakau untuk meningkatkan daya tahan pinggir laut dan penyahkarbonan, serta 70 pokok buah-buahan bagi memperkukuh keterjaminan makanan tempatan. 

 

Aktiviti pembersihan pantai dan pengagihan Kotak Rezeki kepada 30 keluarga kurang berkemampuan turut dilaksanakan, sekali gus memberikan sokongan segera dan manfaat alam sekitar jangka panjang.

 

Dalam aspek keterjaminan makanan bandar, Tune Protect melalui kerjasama dengan Sunway XFarms melaksanakan inisiatif Grow and Give dengan pemasangan empat unit hidroponik berkuasa solar di Medan Jaya Apartments, Petaling Jaya. 

 

3

 

Sejak Mei 2025, projek itu telah melengkapkan lapan kitaran penanaman, menghasilkan 22.4 kilogram sayur segar dengan purata 2.8 kilogram setiap kitaran.

 

Tune Protect berkata projek berkenaan dijangka menghasilkan sehingga 134 kilogram sayur segar dan lebih 2,600 tanaman menjelang Mei 2026, sekali gus meningkatkan daya tahan makanan dan kesejahteraan komuniti. 

 

Program tersebut dilaksanakan melalui empat sesi sepanjang 2025 dan menggerakkan 179 sukarelawan yang menyumbang lebih 1,000 jam kerja sukarela, dengan 234 beg sayur diagihkan kepada penduduk setempat.

 

Selain itu, kumpulan turut menganjurkan Program Tune Protect Free Market: Give and Grow pada 21 Jun 2025, melibatkan 45 sukarelawan yang mengagihkan lebih 2,000 pokok pasu bagi menggalakkan gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat.

 

Dalam usaha membina generasi masa hadapan yang lebih celik kewangan, Tune Protect meneruskan Program Celik Kewangan Harian Metro Bersama Tune Protect di empat sekolah pada Oktober dan November 2025, melibatkan 39 sukarelawan secara langsung serta sokongan lebih 60 pekerja dari pelbagai cawangan. 

 

Program ini menampilkan sudut literasi kewangan interaktif yang membantu pelajar memperoleh kemahiran pengurusan kewangan asas.

 

Mengulas keseluruhan pencapaian itu, Chiew Ling berkata, fokus Tune Protect adalah pada inisiatif bermakna yang menghasilkan impak boleh ukur.

 

“Pada 2025, fokus kami adalah pada inisiatif yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan generasi masa hadapan. Berpandukan visi In Tune for a Better Tomorrow, syarikat kekal komited untuk mencapai 6,000 jam kerja sukarela menjelang 2027,” katanya.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Corporate Good Tune Protect, orang ramai boleh melayari tuneprotect.com/my/people-community/. - DagangNews.com