KUALA LUMPUR 15 Jan – Tri-Mode System (M) Berhad memperoleh pensijilan Pengendali Ekonomi Dibenarkan (AEO) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 15 Januari 2026.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pensijilan tersebut diperkenalkan di bawah Rangka Kerja Piawaian SAFE, Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO), dan memberi pengiktirafan kepada pengendali dalam rantaian bekalan perdagangan antarabangsa.
Ia turut memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan dan diakreditasi oleh negara anggota WCO, dengan skim AEO yang dibangunkan oleh JKDM adalah berasaskan konsep sama.
Menurut Tri-Mode, pensijilan tersebut menggalakkan transaksi elektronik bagi meningkatkan pengurusan keselamatan rantaian bekalan, khususnya dari segi pergerakan barangan yang lebih pantas dan selamat, dokumentasi minimum, pengurangan campur tangan manusia serta kebolehramalan proses kastam.
Dengan status AEO, Tri-Mode kini berupaya mewakili agensi antarabangsa berstatus AEO, syarikat multinasional, syarikat tersenarai awam serta pelanggan terpilih bagi menikmati pelepasan kastam keutamaan, pelepasan penghantaran yang lebih pantas, kadar pemeriksaan fizikal kargo yang lebih rendah, selain keselamatan transaksi yang dipertingkatkan dan pengurusan risiko yang lebih baik.
Lembaga Pengarah Tri-Mode berkata, pensijilan berkenaan dijangka menambah nilai kepada perkhidmatan kumpulan serta memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan, selari dengan strategi untuk memperkukuh kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan logistik hujung ke hujung. - DagangNews.com








