KUALA LUMPUR 14 Jan – TRC Synergy Berhad menerima surat penganugerahan tender bagi satu projek pembinaan kompleks bangunan baharu yang bernilai RM249 juta di Lot 45, Presint 5, Putrajaya.
Kumpulan pemaju hartanah tersebut berkata, kontrak itu diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC), daripada Gilang Cendana Sdn Bhd pada 12 Januari 2026.
Tambahnya, kompleks berkenaan melibatkan cadangan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan bangunan yang merangkumi pembinaan gudang dan blok pejabat, blok pameran, serta tempat letak kereta.
"Projek ini tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan berbayar, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham serta tahap gear kumpulan," maklum TRC Synergy kepada Bursa Malaysia.
Presint 5 pada ketika ini menempatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Marina Putrajaya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Lembaga Pengarah berpandangan projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham syarikat pada masa hadapan, tertakluk kepada faktor-faktor luar jangka.
Syarikat turut mengesahkan bahawa tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak dalam projek berkenaan.
“Selepas meneliti kesemua aspek anugerah projek berkenaan, Lembaga Pengarah berpendapat ia adalah munasabah demi kepentingan terbaik Kumpulan TRC,” katanya. - DagangNews.com








