TRANSIT Malaysia gesa ketelusan penuh projek transit Johor, bimbang dasar ‘flip-flop’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TRANSIT Malaysia gesa ketelusan penuh projek transit Johor, bimbang dasar ‘flip-flop’

Gambar hiasan
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 14 Mei - TRANSIT Malaysia mengkritik keras ekosistem perancangan pengangkutan awam negara dengan memberi amaran bahawa ketidaktelusan dalam proses membuat keputusan, perubahan hala tuju projek yang berulang kali serta kelemahan tadbir urus sedang menjejaskan potensi ekonomi dan masa depan mobiliti Johor Bahru.

 

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, kekeliruan terbaharu membabitkan cadangan sistem transit massa Johor Bahru mencerminkan kegagalan struktur lebih besar dalam rangka kerja perancangan pengangkutan negara yang berlarutan sejak pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2018.

 

 

 

 

 

Dalam kenyataan tegas hari ini, TRANSIT Malaysia menyifatkan keadaan semasa perancangan pengangkutan negara sebagai “subur untuk amalan rent-seeking dan potensi konflik kepentingan” ketika rakyat terus berdepan kesesakan lalu lintas dan sistem mobiliti yang lemah.

 

NGO itu merujuk laporan bercanggah minggu ini melibatkan kelulusan berasingan bagi sistem Automated People Mover (APM) bernilai RM7 bilion dan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) bertingkat bernilai RM10 bilion di Johor Bahru yang didakwa melibatkan konsortium berkaitan MMC Corp.

 

Menurut TRANSIT Malaysia, pengumuman yang bercanggah itu hanya menambah kepada kitaran perubahan dasar dan konsep pengangkutan yang berlarutan lebih sedekad, termasuk cadangan Bus Rapid Transit (BRT), Light Rail Transit (LRT), ART, monorel, trem dan juga hyperloop.

 

‘Gimik teknologi’ alih perhatian daripada penyelesaian mobiliti sebenar

NGO itu memberi amaran bahawa Malaysia semakin cenderung mengejar cadangan pengangkutan berasaskan teknologi semata-mata yang menjanjikan transformasi tetapi gagal memberikan hasil bermakna.

 

“Projek-projek ini muncul secara tiba-tiba dan menjanjikan transformasi tetapi gagal dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

 

TRANSIT Malaysia berkata, perubahan arah yang berulang kali itu mencerminkan kelemahan sistem pengangkutan awam negara yang masih tidak mempunyai struktur perancangan telus, berasaskan bukti dan melalui semakan bebas.

 

Menurut NGO itu, justifikasi projek kini lebih banyak bergantung kepada alasan umum seperti “aliran trafik lebih baik”, “kos lebih rendah” dan “pelaksanaan lebih pantas” tanpa disokong model analisis, penilaian kos-faedah serta semakan profesional yang telus.

 

Ia turut menegaskan, ketiadaan pengawasan institusi yang kukuh selepas pembubaran SPAD telah melemahkan keupayaan teknikal dalaman kerajaan untuk menilai cadangan projek pengangkutan yang dikemukakan pihak swasta.


 

Transit Malaysia

 


Johor berisiko tinggalkan pelan induk jangka panjang

TRANSIT Malaysia menegaskan pembangunan pengangkutan Johor Bahru perlu terus berpandukan Pelan Induk Pengangkutan Iskandar Malaysia 2010-2030 yang sebelum ini merancang sistem Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) sebagai tulang belakang mobiliti wilayah itu.

 

Bagaimanapun, NGO tersebut mendakwa cadangan terkini lebih tertumpu kepada menghubungkan penumpang ke Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS Link) berbanding membangunkan rangkaian pengangkutan awam menyeluruh untuk wilayah Iskandar.

 

Menurut TRANSIT Malaysia, pengabaian pelan induk asal demi projek rel bersifat terpencil berisiko mewujudkan projek “gajah putih” yang mahal tetapi gagal memenuhi keperluan mobiliti tempatan.

 

“Adakah kita sanggup mengorbankan sebahagian kedaulatan mobiliti tempatan semata-mata untuk memudahkan aliran pelawat ke Singapura tanpa merujuk kepada rakyat?” katanya.

 

TRANSIT Malaysia berkata, kelewatan dan perubahan hala tuju berulang kali telah menyebabkan Johor Bahru kehilangan peluang ekonomi penting serta mengekang aspirasi pertumbuhan Wilayah Pembangunan Iskandar.

 

Gesa rombakan tadbir urus pengangkutan negara

Sebagai sebahagian cadangannya, TRANSIT Malaysia sekali lagi menggesa kerajaan Persekutuan mewujudkan National Transport Infrastructure Benefits Casing Framework bagi menyeragamkan proses penilaian projek pengangkutan dan lebuh raya di seluruh negara.

 

Rangka kerja itu dicadangkan mewajibkan semua projek melalui proses kelulusan “stage-gate” yang melibatkan penilaian konsep, penilaian awal dan penilaian akhir kes perniagaan sebelum proses perolehan dilaksanakan.

 

NGO itu berkata, pendekatan tersebut akan memastikan setiap projek menjalani semakan bebas, pemodelan permintaan perjalanan, penilaian kos-faedah serta ujian kebolehlaksanaan teknikal sebelum dana awam besar dibelanjakan.

 

TRANSIT Malaysia turut mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun bagi menyelaras perancangan pengangkutan, integrasi guna tanah dan keputusan antara agensi supaya projek kekal sejajar dengan pelan induk yang diluluskan, bukannya dipandu kepentingan politik jangka pendek.

 

RTS tingkatkan keperluan penyelesaian segera

Dengan RTS Link Johor-Singapura dijadual mula beroperasi pada Disember 2026, TRANSIT Malaysia berkata Johor Bahru memerlukan sistem pengangkutan sokongan yang menyeluruh dan bersepadu bagi menampung peningkatan jumlah pengguna.

 

 

 

 

 

 

NGO itu menggesa agensi termasuk Land Public Transport Agency (APAD), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Johor Public Transport Development Corporation (PPAJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) serta Kementerian Kerja Raya (KKR) supaya segera melaksanakan piawaian perancangan yang telus dan memperjelaskan hala tuju pembangunan pengangkutan Johor.

 

“Keputusan berasaskan bukti yang jelas dan telus amat penting bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan rakyat menerima sistem pengangkutan awam berkualiti tinggi yang amat diperlukan,” katanya. - DagangNews.com