Transaksi Sunway-IJM didakwa ancam aset strategik negara - Perdasama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Transaksi Sunway-IJM didakwa ancam aset strategik negara - Perdasama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menolak sekeras-kerasnya cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad kerana dianggap merugikan kepentingan negara serta mengancam ekuiti Bumiputera dan dana rakyat.

 

Transaksi yang diumumkan pada Januari 2026 itu bernilai kira-kira RM11 bilion dan disusun dengan struktur 10 peratus bayaran tunai dan 90 peratus melalui penerbitan saham baru Sunway pada harga RM5.65 sesaham. 

 

Presidennya Mohd Azamanizam Baharon berkata walaupun pada zahirnya ia kelihatan sebagai transaksi strategik, realitinya Sunway menggunakan sahamnya yang diniagakan pada harga jauh lebih tinggi daripada nilai aset sebenar sebagai “mata wang” untuk mengambil alih aset strategik negara.

 

Perdasama menegaskan bahawa nilai sebenar IJM jauh lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan. 

 

Realiti Penilaian Tidak Boleh Diputarbelit

Pada masa ini, harga saham IJM sekitar RM2.80 dengan nilai aset ketara (NTA) RM2.91, manakala saham Sunway diniagakan pada RM5.63 dengan NTA RM2.34. 

 

Dengan penilaian pendapatan sebanyak 25 kali bagi IJM berbanding 34 kali bagi Sunway, transaksi ini secara asasnya memindahkan nilai daripada pemegang saham IJM kepada Sunway. 

 

Beliau berkata pemegang saham IJM, yang terdiri daripada institusi besar seperti KWSP, PNB, ASB, KWAP dan Tabung Haji, hanya akan menerima pegangan kira-kira 20.5 peratus dalam syarikat gabungan selepas transaksi. 

 

"Ini menimbulkan risiko bahawa aset strategik negara berpindah tangan sementara rakyat dan Bumiputera hanya menerima saham minoriti dalam entiti yang berisiko tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway rancang ambil alih IJM Corp dalam urus niaga tunai dan saham bernilai RM11 bilion

 

Perdasama turut menekankan isu integriti pasaran berikutan kenaikan harga saham Sunway daripada sekitar RM1.50 kepada RM5.60 dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

 

Persatuan itu menimbulkan persoalan sama ada kenaikan tersebut benar-benar organik atau telah “diposisikan” untuk memudahkan transaksi ini. 

 

"Membayar aset strategik negara menggunakan saham yang telah dimahalkan pasaran adalah isu serius kerana ia menimbulkan ketidakseimbangan nilai dan berpotensi menjejaskan kepentingan jutaan rakyat," katanya.

 

Justeru, persatuan itu menuntut Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan dan penilaian saham Sunway bagi memastikan integriti pasaran terjaga.

 

Dalam kenyataan itu, Perdasama menegaskan semua proses transaksi perlu digantung serta-merta. 

 

Implikasi Struktur Transaksi

Persatuan menuntut KWSP, PNB, KWAP, Tabung Haji dan semua institusi pelaburan milik rakyat lain menolak transaksi ini sehingga penilaian bebas, telus dan adil dilaksanakan. 

 

Jika Sunway benar-benar berhasrat memiliki IJM, persatuan menegaskan bahawa ia harus menawarkan pembayaran tunai atau tawaran yang mencerminkan nilai sebenar IJM, bukan melalui saham yang dinilai terlalu tinggi di pasaran. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP penentu kata putus terpenting dalam pengambilalihan IJM oleh Sunway

 

Perdasama menegaskan bahawa ini bukan isu kebijaksanaan kewangan atau kecekapan pasaran semata-mata, tetapi soal pilihan strategik negara dalam memastikan aset strategik Bumiputera dan dana rakyat kekal selamat.

 

Beliau berkata isu ini adalah soal maruah ekonomi negara. 

 

Transaksi yang tidak seimbang ini berpotensi mempercepatkan kehilangan aset strategik Bumiputera secara kekal dan menjejaskan dana rakyat. 

 

Perdasama menegaskan persatuan tidak akan berdiam diri membiarkan ekuiti Bumiputera dikorbankan melalui transaksi yang berisiko tinggi dan tidak adil. 

 

Menurut beliau, kerajaan perlu campur tangan secara langsung bagi menghalang satu kesilapan dasar yang besar dan bersejarah, memastikan bahawa kepentingan rakyat dan Bumiputera sentiasa diutamakan dalam setiap keputusan ekonomi yang melibatkan aset strategik negara.

 

 

 

 

 

 

 

Ancaman Langsung Kepada Ekuiti Bumiputera dan Dana Rakyat

Perdasama menegaskan bahawa jika transaksi ini diteruskan tanpa penilaian yang adil dan telus, rakyat berisiko menerima nilai yang tidak setimpal dengan aset strategik yang berpindah tangan. 

 

Persatuan menyeru semua pihak berkepentingan untuk bertindak segera bagi melindungi kepentingan negara dan masa depan ekonomi rakyat, menegaskan bahawa keputusan yang diambil hari ini akan memberi impak besar terhadap pemilikan aset strategik Bumiputera dan kestabilan dana rakyat pada masa hadapan. 

 

Perdasama menegaskan pendirian tegasnya bahawa isu ini bukan sekadar transaksi korporat biasa, tetapi satu pilihan negara yang mesti dibuat dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab. - DagangNews.com