KUALA LUMPUR 22 Jan - TQ Wuling mengesahkan telah memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi TQ Wuling Bingo EV di Malaysia, satu langkah strategik yang menandakan pencapaian penting dalam komitmen jangka panjang jenama itu terhadap industri automotif tempatan.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan sokongan syarikat terhadap pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara
Dalam satu kenyataan hari ini, TQ Wuling berkata, model elektrik berkenaan kini dipasang di fasiliti pembuatan milik kumpulan Tan Chong di Segambut, yang mempunyai rekod prestasi kukuh serta mematuhi piawaian kualiti dan proses bertaraf antarabangsa termasuk pensijilan ISO.
Menurut TQ Wuling, kerjasama itu menggabungkan kepakaran global EV daripada SAIC-GM-Wuling (SGMW) dengan pengalaman luas kumpulan Tan Chong dalam pembuatan tempatan bagi memastikan kualiti bertaraf antarabangsa yang disesuaikan dengan keperluan pasaran Malaysia.
Bagi fasa awal, syarikat itu mengamalkan pendekatan pengeluaran secara berperingkat dengan fleksibiliti untuk meningkatkan kapasiti sejajar dengan permintaan pasaran dan perkembangan segmen EV tempatan, bagi memastikan kestabilan bekalan, konsistensi kualiti serta kecekapan operasi.
TQ Wuling berkata, Bingo EV merupakan kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di Pusat Pemasangan Tan Chong dan ditawarkan pada harga strategik bagi menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengguna yang lebih luas.
Model itu dibangunkan dengan penekanan tinggi terhadap keselamatan termasuk dilengkapi enam beg udara serta struktur badan yang mengintegrasikan keluli ultra-berkekuatan tinggi 1,500 MPa, yang direka untuk meningkatkan ketegaran struktur dan penyerapan impak bagi perlindungan penumpang.
Bingo EV ditawarkan dalam dua varian iaitu Bingo PRO dan Bingo MAX, masing-masing pada harga RM67,800 dan RM72,800.
Sempena pelancarannya, TQ Wuling memperkenalkan Bingo’s Fabulous 5 Perks yang merangkumi rebat tunai RM5,000, menjadikan harga atas jalan Bingo PRO RM62,800 dan Bingo MAX RM67,800.
Menurut syarikat itu, 500 pelanggan pertama akan menikmati manfaat bernilai sehingga RM12,000 termasuk rebat tunai RM5,000, jaminan komprehensif bateri dan motor pemacu, ansuran bulanan rendah bermula daripada RM625, pengecas EV rumah 7kW, pengecas EV mudah alih 3-pin, pakej penapisan solar premium TQ percuma serta 17 manfaat perlindungan insurans komprehensif dengan liputan khas untuk EV.
Pelanggan boleh membuat tempahan dengan bayaran serendah RM50 melalui laman web tqwuling.my, di bilik pameran TQ Wuling atau di jerayawara rasmi jenama itu.
TQ Wuling berkata, pemasangan tempatan Bingo EV memberikan pelbagai manfaat utama kepada pasaran Malaysia, termasuk harga yang lebih mampu milik, kestabilan bekalan yang lebih baik dengan tempoh penghantaran lebih singkat, tahap lokalisasi lebih tinggi mengikut keadaan pemanduan tempatan, serta kualiti binaan konsisten dan sokongan selepas jualan yang boleh dipercayai.
Selain manfaat kepada pelanggan, inisiatif itu turut menyokong agenda kerajaan dalam memperluaskan penggunaan EV serta pembangunan perindustrian, di samping mengukuhkan keupayaan tempatan, rantaian bekalan dan pembangunan bakat mahir dalam sektor automotif.
Ketua Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd, Wan Wei Sun berkata, permulaan pemasangan tempatan itu bukan sekadar pelancaran satu model, tetapi mencerminkan pelaburan jangka panjang dan keyakinan TQ Wuling terhadap Malaysia sebagai pasaran utama serta hab pengeluaran.
“Dengan menggabungkan keupayaan global EV daripada SGMW bersama warisan pembuatan kukuh Tan Chong yang telah terbina selama berdekad, syarikat membina kepercayaan melalui kualiti, memperkukuh ekosistem tempatan dan meletakkan asas bagi pertumbuhan mampan pada masa hadapan,” katanya.
Sebagai kenderaan elektrik bandar yang mampu milik, praktikal dan bergaya, Bingo EV direka khusus untuk kegunaan harian di bandar.
Varian Bingo PRO menawarkan jarak pemanduan sehingga 333 km (CLTC), manakala Bingo MAX sehingga 410 km (CLTC) bagi setiap cas penuh.
Model ini turut menampilkan rekaan kompak berinspirasikan retro, kemasan dalaman moden, 15 ruang simpanan dalaman, ruang but fleksibel sehingga 1,240 liter, serta dua skrin 10.25 inci pada konsol tengah dan papan pemuka gaya “floating-island”.
Bingo EV dilengkapi bateri Wuling MAGIC proprietari dengan penarafan IP68, jaminan bateri EV 8 tahun/120,000 km, jaminan motor pemacu 8 tahun/160,000 km* dan jaminan kenderaan 5 tahun/150,000 km.
Ketika ini, enam bilik pameran khusus TQ Wuling beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia, disokong oleh tujuh pusat selepas jualan melalui rangkaian servis TCMH, dengan pembukaan cawangan tambahan dirancang dalam beberapa bulan akan datang. - DagangNews.com








