Tomei catat untung bersejarah melebihi RM100 juta bagi tahun 2025, dipacu harga emas tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tomei catat untung bersejarah melebihi RM100 juta bagi tahun 2025, dipacu harga emas tinggi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pengeluar dan peruncit barang kemas bersepadu, Tomei Consolidated Berhad mencatat prestasi luar biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), dipacu oleh jualan kukuh, harga emas meningkat, dan margin keuntungan yang lebih baik.

 

Kumpulan ini merekod hasil tahunan sebanyak RM1.3 bilion, meningkat 25% daripada RM1.1 bilion pada FY2024. Untung selepas cukai (PAT) naik 81% kepada RM111.4 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga meningkat 83% kepada RM155.3 juta. Pendapatan sesaham hampir dua kali ganda kepada 77.07 sen, mencerminkan operasi yang kukuh dan keadaan pasaran emas yang menguntungkan.

 

Segmen runcit Tomei terus menjadi pemacu utama, menyumbang RM1.1 bilion dalam hasil, meningkat 27% berbanding tahun sebelumnya.

 

Permintaan tinggi semasa musim perayaan dan kenaikan harga emas membantu PBT segmen ini melonjak 81% kepada RM134.1 juta.

 

Segmen pembuatan dan pemborongan turut mencatat prestasi positif, dengan hasil meningkat 7% kepada RM247.5 juta dan PBT berganda kepada RM21.2 juta.

 

 

TOMEI
     Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng 

 

Prestasi Suku Keempat FY2025 Rekod Tertinggi

Bagi suku terakhir 2025, Tomei mencatat hasil RM387.9 juta, meningkat 60% berbanding suku yang sama tahun lalu. PBT suku meningkat 149% kepada RM48.7 juta, manakala PAT meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM33.3 juta berbanding Q4FY2024.

 

Kenaikan ini didorong oleh lonjakan harga emas, yang meningkat 65% pada 2025 daripada AS$2,624 ke AS$4,340 seauns, termasuk kenaikan 12% pada suku keempat.

 

Walaupun pertumbuhan pesat, Tomei mengekalkan kedudukan kewangan sihat dengan nisbah net gearing meningkat sedikit kepada 0.56 kali daripada 0.58 setahun sebelumnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng berkata, syarikat optimis tentang tahun hadapan.

 

"Pasaran runcit Malaysia dijangka kekal stabil, disokong oleh keadaan ekonomi yang mantap dan inisiatif di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merangsang perbelanjaan pelancong.

 

"Kami menjangkakan operasi dan keuntungan Kumpulan akan terus kukuh.” - DagangNews.com