KUALA LUMPUR 16 Jan – TNG Digital Sdn Bhd, pengendali TNG eWallet, dengan kerjasama strategik bersama EPOS, melancarkan EPOS360 dan EPOS360 BlueTap, sebuah platform transformasi digital dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
Penyelesaian semua dalam satu itu diperkenalkan sebagai program mini dalam aplikasi TNG eWallet, membolehkan PKS tempatan mengakses pelbagai alat pertumbuhan berasaskan AI secara terus untuk mendekati lebih 25 juta pengguna e-dompet berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, PKS merupakan nadi kepada ekonomi negara dan syarikat komited untuk memudahkan urusan perniagaan segmen tersebut.
“Dengan menyepadukan EPOS360 ke dalam TNG eWallet, kami menyediakan alat yang mudah dan dipercayai untuk peniaga mencapai lebih ramai pelanggan serta mengurus perniagaan dengan lebih cekap dalam ekosistem yang digunakan jutaan rakyat Malaysia setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain platform digital, kerjasama itu turut memperkenalkan EPOS360 BlueTap, iaitu peranti pintar di kaunter yang menyokong pelbagai kaedah pembayaran termasuk pengalaman ‘ketik untuk bayar’ pertama di Malaysia menggunakan TNG eWallet.
Peranti berkenaan turut menyokong QR DuitNow dan e-dompet utama lain, serta bakal dilengkapi fungsi pembayaran kad dalam masa terdekat bagi menawarkan fleksibiliti lebih luas kepada peniaga dan pengguna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPOS, Alan Wang berkata, pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk kekal berdaya saing.
“Kami percaya dengan meletakkan teknologi yang tepat ke tangan PKS, mereka mampu meneroka peluang baharu. Melalui EPOS, Ant International akan mempercepatkan strategi untuk memacu pendigitalan PKS di Asia Tenggara, bermula dengan Malaysia dan seterusnya Singapura,” katanya.
Antara ciri utama EPOS360 termasuk pengesahan pembayaran melalui audio, integrasi cerapan transaksi, serta bantuan ‘AI Copilot’ yang membantu peniaga membina menu dalam talian dan melaksanakan kempen pemasaran secara automatik merentas pelbagai saluran, termasuk Google Maps.
Inisiatif itu turut menerima sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memajukan dan memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara. - DagangNews.com








