KUALA LUMPUR 8 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memperluas infrastruktur pengecasan EV dengan sasaran 53 poin pengecasan di 20 lokasi di seluruh negeri Perak.
Sehingga kini, TNB telah menyediakan 12 poin pengecasan di 6 lokasi utama, termasuk R&R Tapah, Gunung Semanggol serta pusat membeli-belah AEON di Taiping, Manjung dan Kinta City.
Terbaharu, pemasangan di Hotel Casuarina@Meru merupakan satu pencapaian penting sebagai pengecas pertama TNB di hotel.
Melangkah ke hadapan, TNB dan Perak Corporation Berhad telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 lagi lokasi berpotensi di seluruh negeri untuk pembangunan infrastruktur EV pada masa akan datang.
Kemudahan baharu ini dijangka siap menjelang suku ketiga 2025, sekaligus memperkukuh jaringan mobiliti hijau Perak dan menaikkan lagi imej negeri sebagai destinasi pelancongan mesra alam.
Di peringkat nasional, TNB turut menjalinkan kerjasama strategik dengan:
● Pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), serta Perodua untuk memperluas kemudahan EV di peringkat komuniti dan awam;
● PLUS Malaysia, AEON Mall, BHPetrol dan Petron Malaysia bagi meluaskan akses pengecasan pantas di sepanjang lebuh raya, pusat bandar dan laluan Pantai Timur seperti Petron Selising (Kelantan) dan Kampung Gemuroh (Terengganu);
Melalui jenama TNB Electron, TNB kini giat memperluas jaringan pengecasan EV di lebuh raya, hab komersial dan destinasi pelancongan utama.
Sehingga April 2025, sebanyak 80 pengecas telah dipasang di seluruh Semenanjung Malaysia dengan pelaksanaan berterusan untuk memenuhi permintaan mobiliti mampan yang semakin meningkat.
Melalui inisiatif ini, TNB bantu merealisasikan visi NETR dalam membangunkan sebuah ekosistem EV yang tahan lasak dan bersedia untuk masa hadapan demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
“Pendekatan kami bersifat inklusif, untuk memastikan kemudahan EV dapat diakses oleh semua,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan pada majlis MoA TNB dengan Hotel Casuarina@Meru, baru-baru ini.
“Inisiatif ini membuktikan bagaimana kerjasama strategik mampu merangsang sektor pelancongan, menggiatkan komuniti setempat dan menggalakkan amalan hidup yang lebih lestari,” tambah beliau.
TNB dan Hotel Casuarina@Meru memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik bagi pemasangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di hotel tersebut, selaras dengan aspirasi negeri Perak ke arah masa depan rendah karbon.
Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara TNB dan CMSB, anak syarikat Perak Corporation Berhad, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru. TNB diwakili oleh Ketua Pegawai Strategi & Ventures, Ir. Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam di dalam majlis tersebut manakala CMSB diwakili oleh Pengurus Besarnya, Sabrina Ahmad Tah.


Kerjasama ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam mempercepatkan penggunaan EV di seluruh negara.
Ia turut memperkukuh peranan TNB sebagai pemacu utama dalam peralihan tenaga hijau negara menerusi pembangunan ekosistem EV yang boleh dipercayai, mudah diakses dan bersedia untuk masa hadapan selaras dengan matlamat jangka panjang NETR.
Menerusi kerjasama ini, TNB akan memasang satu pengecas pantas DC berkapasiti 120kW dengan dua muncung CCS2 dan dua pengecas AC berkapasiti 22kW di Hotel Casuarina@Meru.
Kemudahan ini akan menawarkan akses 24 jam dengan ruang parkir khas untuk EV serta pilihan pembayaran mudah alih bagi memastikan pengalaman pengecasan yang lancar untuk tetamu hotel dan pengguna awam.
“Kerjasama ini melambangkan sinergi pintar antara syarikat utiliti nasional dan sektor hospitaliti negeri,” kata Megat Jalaluddin.
“Ia membawa manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu agenda hijau negeri. TNB amat menghargai kepercayaan kerajaan negeri Perak dan bertekad menyokong visi Perak Sejahtera 2030 sebagai rakan strategik jangka panjang.” - DagangNews.com








