TMK Chemical dijangka raih manfaat daripada rancangan Lynas naikkan 50% keluaran - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMK Chemical dijangka raih manfaat daripada rancangan Lynas naikkan 50% keluaran - RHB Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Feb - TMK Chemical Berhad berpotensi mendapat manfaat besar daripada rancangan Lynas untuk meningkatkan pengeluaran klor alkali sebanyak 50% menjelang April 2026, yang mewakili 65% pasaran domestik, kata RHB Research.

 

Peningkatan ini dijangka memberikan peluang signifikan kepada TMK sebagai satu daripada hanya dua pengeluar klor alkali utama di Malaysia.

 

Selain itu, TMK juga diunjur meraih kelebihan daripada penguasaan 50% pasaran produk kimia di Singapura.

 

 

 

 

 

 

Kedudukan ini menempatkan syarikat sebagai penerima utama manfaat daripada pengembangan loji Micron bernilai AS$240 bilion (kira-kira RM1,128 bilion), sekali gus membuka peluang kepada pertumbuhan jualan eksport dan margin yang lebih tinggi.

 

Tambahan pula, pemulihan sektor pemasangan dan ujian (OSAT) di utara Semenanjung Malaysia serta kestabilan operasi dalam industri sarung tangan dijangka memberi manfaat tambahan kepada TMK.

 

TMK dijangka memanfaatkan semua pemacu pertumbuhan ini dengan sokongan kejelasan tarif yang lebih baik serta pemulihan aktiviti pembuatan.

 

Menurut penganalisis RHB Research, pengembangan kapasiti syarikat itu dijangka menyokong peningkatan margin selari dengan keadaan permintaan dan bekalan yang menguntungkan.

 

Loji Banting 1 & 2

Pengurusan TMK Chemical menekankan bahawa Loji Banting 1 kini beroperasi pada kapasiti penuh, didorong oleh permintaan yang melebihi bekalan.

 

Loji Banting 2 dijangka mula beroperasi pada suku keempat FY26, dengan kadar penggunaan awal dijangka antara 50%-60%. Peruntukan modal (capex) bagi Loji Banting Fasa 2 dianggarkan sebanyak RM120 juta, jauh lebih rendah berbanding RM280 juta yang digunakan untuk Loji 1.

 

Penjimatan capex ini adalah kerana kos infrastruktur, termasuk tanah dan pembangunan jalan, telah ditanggung oleh Loji Banting 1. TMK menjangkakan peningkatan margin dari Fasa 2, disokong oleh keperluan tenaga kerja tambahan yang minima hasil automasi yang lebih tinggi.

 

Tarif Elektrik

Sejak Julai 2025, TMK menikmati tarif elektrik baharu yang menjimatkan purata RM700,000 sebulan, bersamaan penjimatan tahunan kira-kira RM8 juta.

 

Bagi suku keempat FY25, pengurusan menyasarkan peningkatan PAT sebanyak 7%-10% QoQ, dengan unjuran FY26 dijangka kekal setanding atau sedikit lebih tinggi daripada FY24 (PATAMI FY24: RM111 juta).

 

Peningkatan ini dijangka dicapai melalui pertumbuhan volum, harga jualan purata (ASP) yang lebih baik, dan margin yang lebih luas. TMK juga menegaskan komitmen kepada kadar pembayaran dividen 50%, dengan butiran lanjut akan diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat.

 

Minat Terhadap Saham Kecil dan Sederhana

TMK Chemical adalah satu syarikat yang menjadi perhatian utama RHB Research dalam acara Small Cap Corporate Access 2026 yang diadakan pada 29 Jan lalu dan telah mendapat sambutan hangat daripada kira-kira 70 pengurus dana dan penganalisis dari seluruh Asia.

 

 

 

 

 

 

 

 

Acara itu menampilkan 12 syarikat dari Indonesia, Malaysia, dan Singapura, dengan pengurusan yang optimis terhadap prospek 2026.

 

RHB Research melihat bahawa saham kecil dan sederhana yang dinilai menarik dijangka menunjukkan prestasi baik pada 2026, disokong oleh pelbagai pemacu unik, aliran pelaburan berputar, persekitaran ekonomi domestik yang sihat, aliran masuk pelaburan asing langsung (FDI) yang kukuh di pasaran. - DagangNews.com