TM sertai Konsortium Kabel Dasar Laut Candle: Sambungkan Malaysia, ASEAN dengan Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM sertai Konsortium Kabel Dasar Laut Candle: Sambungkan Malaysia, ASEAN dengan Jepun

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Sept - Telekom Malaysia Bhd (TM) menyertai konsortium antarabangsa bagi membangunkan sistem kabel dasar laut Candle, sebuah projek mega yang menghubungkan Jepun, Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

 

Projek yang turut disertai gergasi teknologi global seperti Meta, SoftBank Corp., IPS Inc., PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk dan NEC Corporation ini akan menampilkan sistem kabel optik sepanjang 8,000 kilometer dengan kapasiti 24 pasang gentian – antara yang pertama seumpamanya di Asia Pasifik.

 

Ia dijadualkan mula beroperasi pada 2028 dan dijangka menjadi pemacu utama bagi memenuhi permintaan pesat terhadap komunikasi data berkelajuan tinggi, khususnya dalam era 5G, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Candle, Don Pang, menekankan bahawa projek ini bakal menjadi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital serantau.

 

Menurutnya, Candle bukan sekadar menambah kapasiti, tetapi membawa kepelbagaian rangkaian dan daya ketahanan yang lebih tinggi, sekali gus melindungi kesinambungan komunikasi rentas sempadan di tengah-tengah ledakan penggunaan teknologi digital.


 

TM
Dari kiri: Alejandro A. Aquino, Penasihat Eksekutif IPS dan InfiniVAN; Don Pang, Pengurus Pembangunan Rangkaian META; Koji Ishii, Pengurus Besar SoftBank Telecom (Tokyo); Mohamed Tajul Mohamed Sultan, Ketua Pegawai Rangkaian TM; dan Koji Maruyama, Pengurus Projek Candle, NEC.

 

 

Bagi TM, penyertaan dalam konsortium Candle mencerminkan visi jangka panjang syarikat dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, menyifatkan projek ini sejajar dengan aspirasi syarikat untuk muncul sebagai Digital Powerhouse menjelang 2030.

 

Katanya, kabel dasar laut itu akan memperkukuh keupayaan TM menyokong keperluan hyperscaler, perusahaan dan penyedia perkhidmatan global, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pintu gerbang digital rantau ini.

 

Penyertaan TM dalam projek kabel dasar laut Candle membuktikan komitmen kami membina infrastruktur digital yang berdaya tahan untuk memenuhi permintaan pesat terhadap perkhidmatan digital serta inovasi berasaskan awan dan AI di Asia. Usaha ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, selain menghubungkan Malaysia ke dunia, dan dunia ke Malaysia,” jelas Amar.

 

Rakan kongsi lain turut menekankan kepentingan strategik Candle. Meta, misalnya, menyifatkan kabel ini sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk membolehkan akses teknologi baharu seperti AI dan superintelligence peribadi kepada masyarakat global.

 

SoftBank pula melihat Candle sebagai sebahagian daripada infrastruktur sosial generasi baharu Jepun, yang akan berintegrasi dengan sistem kabel lain seperti JUPITER, ADC dan E2A bagi memperkukuh kedudukan negara itu sebagai gerbang digital Asia.

 

Sementara itu, IPS Inc. melalui anak syarikatnya, InfiniVAN, akan memainkan peranan sebagai pihak pendaratan di Baler, wilayah Aurora di Filipina, yang bakal melonjakkan negara itu sebagai hab konektiviti serantau.

 

Dari Indonesia, PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk menganggap penyertaan mereka akan membawa manfaat kepada semua pihak konsortium, manakala NEC Corporation – peneraju global dalam projek kabel dasar laut dengan pengalaman lebih enam dekad – diberi mandat sebagai integrator sistem. NEC akan mengurus keseluruhan rantaian pelaksanaan, daripada pembuatan kabel dan repeater, reka bentuk laluan, pemasangan hingga ujian operasi.

 

Projek Candle bukan sekadar simbol kerjasama teknikal, tetapi juga manifestasi komitmen bersama dalam memperluaskan konektiviti serantau, menjamin penghantaran data antarabangsa yang selamat serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital ASEAN.

 

Dengan lebih separuh bilion penduduk di Asia Pasifik bergantung kepada rangkaian yang lebih kukuh, Candle bakal menjadi tulang belakang kepada transformasi digital seterusnya – dari perusahaan besar, penyedia teknologi global hingga ke komuniti tempatan yang semakin berhubung.

 

Apabila ia mula beroperasi pada 2028, Candle dijangka bukan sahaja mengubah landskap infrastruktur telekomunikasi rantau ini, malah mengangkat Malaysia sebagai salah satu pusat nadi digital dunia. - DagangNews.com