Titijaya, Mines Heights bentuk usaha sama bangunkan projek dengan GDV RM554.30 juta di Taman Connaught, Cheras | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Titijaya, Mines Heights bentuk usaha sama bangunkan projek dengan GDV RM554.30 juta di Taman Connaught, Cheras

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Titijaya Land Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya telah menandatangani Perjanjian Usaha Sama (JVA) dengan Mines Heights Development Sdn. Bhd., pemilik tanah seluas 3 ekar di Taman Connaught, Cheras, bagi pembangunan bercampur berorientasikan transit dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM554.30 juta.

 

Di bawah terma perjanjian itu, Titijaya Development akan membangunkan tanah tersebut menjadi projek bercampur mengikut kelulusan pembangunan dan pelan yang diluluskan, termasuk sebarang variasi seterusnya yang diperakukan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

 

 

 

 

 

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Titijaya Development akan membayar hak pemilik tanah kepada Mines Heights bersamaan 16.5% daripada nilai GDV bersih projek, dengan jumlah minimum tidak kurang RM90 juta. Pembayaran akan dibuat melalui tunai – mewakili 80% daripada nilai hak – dan lot hartanah bagi baki 20% lagi.

 

Projek ini dijangka memanfaatkan kepakaran pembangunan hartanah Titijaya serta kedudukan strategik tanah di Taman Connaught, yang dilihat mempunyai potensi pembangunan tinggi dan mampu menyumbang kepada aliran hasil serta prestasi kewangan kumpulan.

 

Kerja pembinaan dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan selepas lesen pemaju dan permit iklan diperoleh, dengan sasaran siap dalam tempoh enam tahun. Pembiayaan projek akan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.


 

Titijaya
Pengarah Urusan Titijaya Land Bhd, Datuk Lim Poh Yit; pengasas dan penasihat kumpulan Titijaya Land, Tan Sri Lim Soon Peng; pengarah Mines Heights Development Sdn Bhd, Datuk Ganesan Subramaniam; dan pengarah Mines Heights Development, Sulaiman Abdul Wahid pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama pada 19 Ogos.

 


Titijaya menyatakan dalam laporan kepada Bursa bahawa projek ini selaras dengan strategi pertumbuhan kumpulan untuk mengembangkan portfolio tanah di Lembah Klang.

 

 

 

 

 

 

“Taman Connaught adalah lokasi yang dicari ramai, dan kami yakin projek ini akan meningkatkan aliran hasil dan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Kumpulan,” menurut Titijaya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, pembangunan hartanah menyumbang RM251.2 juta kepada hasil kumpulan Titijaya. - DagangNews.com