KUALA LUMPUR 23 Jan – Time dotCom Berhad dilihat berpotensi meningkatkan pembayaran dividennya bagi tahun kewangan 2026 susulan kedudukan tunai bersih yang kukuh dan pengurusan modal lebih proaktif, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan itu mengekalkan andaian bahawa Time dotCom akan membayar 100% dividen sebagai kes asas, namun mereka turut menyatakan syarikat itu berpotensi membayar sehingga 150%, yang boleh memberikan hasil dividen sekitar 6.5 hingga 7 peratus pada FY26.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan Pegang ke atas Time dotcom.
“Dalam tempoh dua bulan lalu, harga saham Time dotCom meningkat kira-kira 20 peratus, dipercayai susulan langkah pengurusan modal yang lebih agresif.
“Syarikat berada dalam kedudukan tunai bersih, sebahagiannya hasil daripada penjualan 70 peratus entiti pusat data AIMS pada 2023.
“Sehubungan itu, kami menaikkan harga sasaran saham Time dotCom daripada RM5.10 kepada RM5.50 berasaskan model DCF selepas melanjutkan tahun asas dan menurunkan kadar WACC daripada 7.9% kepada 7.6%,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma tersebut berkata sepanjang sejarah, pengurusan Time dotCom bersikap konservatif terhadap komitmen dividen dengan polisi pembayaran 50 peratus dan lebih gemar mengejutkan pasaran melalui dividen khas.
“Kaedah ini telah diamalkan sejak 2015.
“Syarikat berpotensi mengagihkan keseluruhan rizab tunainya. Di bawah senario pembayaran 100%, Time dotCom dijangka masih mengekalkan kedudukan tunai bersih sehingga melepasi 2027.
“Sebaliknya, sekiranya pembayaran dividen ditingkatkan kepada 150%, syarikat dijangka akan beralih menjadi berhutang bersih pada tahun kewangan 2026,” menurut Maybank IB.
Firma tersebut berkata ramalan pendapatan dan dividen Time dotCom tidak berubah, namun harga sasaran dinaikkan kerana pengurusan yang lebih proaktif dalam memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham.
Time dotCom kini dilihat beralih daripada fokus pertumbuhan kepada saham berorientasikan hasil dividen, memanfaatkan kedudukan tunai bersih dan disiplin perbelanjaan modal yang ketat.
Syarikat ini mengendalikan rangkaian fiber optik sepanjang 10,000 kilometer di Semenanjung Malaysia dan mempunyai reputasi kukuh dalam monetisasi aset serta penghantaran hasil kewangan yang stabil.
Walaupun pertumbuhan pelanggan mula perlahan kerana pasaran internet berkelajuan tinggi untuk pengguna runcit hampir mencapai tahap maksimum, Time dotCom masih kekal dengan kelebihan tersendiri, kerana pemain baharu menghadapi halangan tinggi untuk masuk ke dalam industri yang memerlukan pelaburan modal yang besar.
Dalam tempoh terdekat, pelabur dijangka memberi perhatian kepada inisiatif pengurusan modal, termasuk kemungkinan pengumuman dividen khas bagi memanfaatkan lebihan tunai syarikat.
Antara risiko yang perlu diperhatikan ialah persaingan sengit dalam industri, termasuk perang harga, serta perubahan kawal selia yang boleh menjejaskan harga produk dan keuntungan syarikat.
Dengan strategi dividen yang lebih proaktif dan kedudukan tunai yang kukuh, Time dotCom berpotensi untuk mengekalkan daya tarikan sebagai saham hasil dividen di kalangan pelabur, terutama dalam pasaran telekomunikasi tetap yang stabil. - DagangNews.com








