Tidak sampai 6 bulan jadi Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG, Tan Sri Mohd Khairul Adib letak jawatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tidak sampai 6 bulan jadi Timbalan Pengerusi Eksekutif NexG, Tan Sri Mohd Khairul Adib letak jawatan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Okt - NexG Bhd mengumumkan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman telah meletakkan jawatan sebagai timbalan pengerusi eksekutif syarikat itu, kurang daripada enam bulan selepas memegang jawatan tersebut.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Mohd Khairul Adib, 63, meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 14 Oktober bagi `mengejar kepentingan lain'.

 

Syarikat itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, menyatakan beliau telah dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif NexG pada November 2024, sebelum dilantik semula sebagai timbalan pengerusi eksekutif pada 28 Mac 2025, berdasarkan laporan tahunan terkini syarikat.

 

Beliau memegang kepentingan tidak langsung sebanyak 12.305% atau 441.36 juta saham dalam NexG melalui pegangan sahamnya dalam Kuantum Juang Sdn Bhd dan Skyelimit Alliance Sdn Bhd.

 

Mohd Khairul Adib kini merupakan ahli lembaga pengarah Westports Holdings Bhd.

 

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari Oktober 2019 hingga Januari 2022.

 

Dalam satu pemakluman berasingan, NexG turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Puvanesan Subenthiran, 49, sebagai pengarah eksekutif, berkuat kuasa 14 Oktober.

 

Harga saham NexG ditutup turun empat sen atau 8% kepada 46 sen pada Selasa, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM1.71 bilion. Saham syarikat itu telah lebih daripada dua kali ganda daripada paras terendah tahun ini iaitu 22 sen pada April lalu. - DagangNews.com