KUALA LUMPUR 27 Feb - “Tiada kewajipan untuk pemegang saham menjual. Jika mereka terima, bagus. Jika tidak, kami akan berundur.
"Ia terpulang sepenuhnya kepada mereka. Mereka hanya perlu memilih ‘bot’ mana yang mahu dinaiki.
"Jika menerima, mereka akan menerima saham Sunway dan turut serta dalam pertumbuhan kami. Jika tidak, itu pilihan mereka sepenuhnya. Ini situasi pembeli rela, penjual rela,” kata pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah kepada pemberita selepas majlis pelancaran prospektus cabang penjagaan kesihatan Sunway hari ini.
Menurutnya, tawaran pengambilalihan bernilai RM11 bilion oleh Sunway Bhd ke atas IJM adalah transaksi komersial semata-mata. Beliau menolak tanggapan wujud tekanan atau paksaan, sambil menegaskan pemegang saham bebas untuk memutuskan sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau sebaliknya.
“Terdapat banyak spekulasi di luar sana, tetapi saya tegaskan tiada pengambilalihan secara paksa. Sunway tidak membuli atau menyakiti sesiapa.
"Ini semata-mata untuk tujuan komersial. Kami melihat IJM sebagai aset yang menarik, maka kami mengemukakan tawaran,” katanya.
Beliau menegaskan IJM Corporation Bhd kekal sebagai sasaran pengambilalihan yang menarik walaupun selepas `lawatan' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) susulan dakwaan skim pengubahan wang haram.
IJM, sebuah konglomerat pelbagai bidang yang terlibat dalam pembinaan, hartanah dan infrastruktur, mempunyai buku pesanan belum dilaksana berjumlah RM4.4 bilion serta jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM1.59 bilion, selain kepentingan dalam konsesi lebuh raya, pelabuhan dan pembuatan.
Tawaran pengambilalihan Sunway ke atas IJM pertama kali diumumkan bulan lalu.
Laporan media sebelum ini menyebut syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang secara kolektif memegang hampir 41% kepentingan ekuiti dalam IJM tidak begitu terbuka terhadap tawaran tersebut kerana ia bukan tawaran tunai sepenuhnya. Antara GLIC yang mempunyai pegangan dalam IJM ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (20.48%), Permodalan Nasional Bhd (14.54%) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) (9.64%).
Minggu ini, Sunway menyemak semula komponen tunai tawarannya susulan pengisytiharan dividen dua sen kepada pemegang saham Sunway.
Bahagian tunai itu akan meningkat daripada 31.5 sen kepada kira-kira 32.5 sen bagi setiap saham IJM, selepas pelarasan bagi dividen interim kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Sunway berkata pelarasan itu mencerminkan pengagihan bersih dua sen bagi setiap saham Sunway didarabkan dengan 0.501 saham baharu Sunway yang akan diterima setiap pemegang saham IJM sekiranya menerima tawaran tersebut.
Saham Sunway susut 15 sen atau 2.52% kepada RM5.80 setakat waktu penulisan pada Jumaat, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu sebanyak RM39.47 bilion. - DagangNews.com








