KUALA LUMPUR 16 Jan — Theta Edge Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Amrul Hisyam Alias sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif yang baru diwujudkan kumpulan itu berkuat kuasa 15 Januari 2026.
Tokoh korporat yang berusia 50 tahun itu merupakan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Stealth Solutions Sdn Bhd, sebuah firma infrastruktur telekomunikasi dengan lebih dua dekad pengalaman.
Beliau berkepakaran luas dalam pembangunan infrastruktur, pemerolehan tapak, pembinaan menara telekomunikasi, pemilikan serta operasi rangkaian, selain pembiayaan projek dan pasaran modal.
"Sepanjang kepimpinannya, Stealth berkembang daripada pengendali berasaskan projek kepada kumpulan prasarana telekomunikasi yang bersepadu di Malaysia," maklum Theta Edge kepada Bursa Malaysia.
Pada 2008, Amrul Hisyam berjaya mendapatkan lesen Penyedia Fasiliti Rangkaian (NFP), mengukuhkan peranan syarikat berkenaan dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Harta) dari Universiti Malaya, beliau memulakan kerjaya dengan Jones Lang Wootton berpusat di Amerika Syarikat dan Maxis Communications Berhad.
Selepas itu beliau menerajui Stealth sebagai Pengarah Urusan pada 2005, sebelum dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan pada 2024, yang menyelia banyak portfolio berbeza termasuk hartanah.
"Beliau tiada hubungan kekeluargaan, konflik kepentingan atau ekuiti dalam syarikat atau anak syarikatnya, dan langsung tidak memegang jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai lain," kata Theta Edge.
Berdasarkan maklumat laman web rasmi kumpulan itu, Amrul Hisyam dijangka membantu Pengerusi, Tan Sri Abd Rahman Mamat yang pernah 35 tahun di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Lembaga Pengarah syarikat berkenaan turut dianggotai oleh lima lagi individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Nuraslina Zainal Abidin. - DagangNews.com








