TH Plantations catatkan untung bersih Q1 lebih rendah sebanyak RM12.85 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TH Plantations catatkan untung bersih Q1 lebih rendah sebanyak RM12.85 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Mei - Keuntungan bersih TH Plantations Bhd susut kepada RM12.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (Q1 2025) daripada RM13.04 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Hasil, bagaimanapun, meningkat 14 peratus kepada RM179.13 juta daripada RM157.31 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TH Plantation berkata peningkatan hasil yang lebih tinggi itu didorong terutamanya oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah, isirung sawit dan tandan buah segar walaupun jumlah jualan yang lebih rendah di seluruh produk ini.

 

TH Plantation kekal fokus dan berdaya tahan dalam menyampaikan sasaran prestasinya bagi tahun kewangan 2025 sambil mengekalkan pandangan berhati-hati di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar dan tidak dapat diramalkan.

 

 

TH Plantation
         Mohamed Zainurin Mohamed Zain

 


Dalam satu kenyataan berasingan, CEO TH Plantation, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata kumpulan itu akan terus menumpukan pada inisiatif peningkatan hasil, mekanisasi dan pengoptimuman kos bagi mengukuhkan lagi daya tahan operasi selaras dengan AL-Falah 22/22, pelan perniagaan strategik lima tahunnya.

 

"Strategi utama termasuk memperluaskan aktiviti penanaman semula dengan bahan yang menghasilkan hasil lebih tinggi, mempercepatkan usaha pendigitalan, dan meningkatkan pematuhan ESG selaras dengan piawaian kemampanan global.

 

"THP komited untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingannya sambil memastikan pertumbuhan yang bertanggungjawab dan mampan di seluruh operasinya," katanya.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan optimistik tentang kebolehan strategi dan inisiatif semasa untuk menangani isu dan cabaran yang berterusan. - DagangNews.com