Terengganu bina 60 unit rumah pangsa berharga RM90,000 untuk keluarga berpendapatan kurang RM4,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu bina 60 unit rumah pangsa berharga RM90,000 untuk keluarga berpendapatan kurang RM4,000

Rumah pangsa mampu milik yang dibina sebelum ini - Gambar PMINT
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 23 Jan – Sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi pembinaan Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) dekat Kubang Parit di sini khas bagi golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

 

Sebanyak 60 unit rumah dibangunkan melalui projek tersebut di atas tanah seluas 1.66 ekar  melibatkan pembinaan Rumah Pangsa Mampu Milik Jenis A setinggi lima tingkat.

 

Tempoh pembinaan projek tersebut dijangka siap dalam masa dua tahun dengan sasaran penyerahan kunci kepada pemilik dijadualkan pada 15 September 2028.

 

Syarat kelayakan pemohon ditetapkan kepada isi rumah berpendapatan antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun dan anggaran bayaran bulanan sekitar RM237.

 

Setiap unit rumah mempunyai keluasan 800 kaki persegi dan direka dengan susun atur praktikal yang sesuai untuk keperluan sebuah keluarga.

 

Unit kediaman itu turut dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, sekali gus memberi penekanan kepada aspek keselesaan dan kesejahteraan penghuni.

 

Harga jualan seunit bagi Rumah Pangsa Mampu Milik tersebut ditetapkan pada RM90,000, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri pada kos yang lebih rendah.

 

Bagi memastikan kemudahan yang mencukupi, projek ini turut menyediakan 60 petak tempat letak kereta untuk pemilik, 25 petak untuk pelawat serta dua petak khas untuk Orang Kurang Upaya.

 

t

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata projek tersebut mencerminkan iltizam berterusan kerajaan negeri untuk memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki kediaman yang selesa, berkualiti serta mampu dimiliki.

 

Menurut beliau, pembangunan RPMM Kubang Parit merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan yang bersesuaian dari segi harga, lokasi dan kemudahan asas.

 

“Perancangan projek RPMM Kubang Parit mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan dan kemudahan asas bagi membentuk komuniti yang harmoni dan sejahtera.

 

“Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana berkaitan akan sentiasa memantau perkembangan projek itu supaya ia dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan,” katanya.

 

Menurutnya, projek berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban rakyat dalam memiliki kediaman sendiri, di samping meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti setempat.

 

“Untuk makluman, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh semua pemohon ialah membuat pendaftaran di laman web rasmi e-Perumahan Terengganu di https://eperumahan.terengganu.gov.my dengan melengkapkan semua maklumat yang diperlukan secara menyeluruh dan tepat.

 

“Bagi permohonan RMM Kubang Parit pula, iklan permohonan hanya akan dikeluarkan setelah kemajuan pembangunan projek mencapai 60%. Oleh itu, pemohon dinasihatkan agar sentiasa membuat semakan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan pembukaan permohonan,” katanya. - DagangNews.com