Tender pintu kalis api di Sabah tidak beri impak material jangka pendek kepada Steel Hawk — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tender pintu kalis api di Sabah tidak beri impak material jangka pendek kepada Steel Hawk — TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Jan — Walaupun berjaya memperoleh subkontrak baharu di Sabah, kesannya terhadap prestasi kewangan Steel Hawk Berhad dijangka terhad dalam jangka pendek, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi berkenaan berikutan ketiadaan nilai kontrak secara tetap serta sifatnya berasaskan kepada tawaran atas permintaan sekiranya diperlukan pelanggan.


Katanya lagi, anak syarikat milik penuh Steel Hawk, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd meraih tender tersebut daripada Eternity Mode Sdn Bhd yang melibatkan tempoh kira-kira dua tahun sembilan bulan.


"Ia meliputi kerja perolehan, pembinaan dan pentauliahan pintu kalis api di Sabah, namun pihak pengurusan memaklumkan kontrak itu tidak dijangka memberi kesan material," kata TA Securities.


Sehubungan itu, subkontrak berkenaan tiada apa-apa kesan ketara terhadap aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2026, walaupun ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan subsidiari.


Justeru, firma tersebut berpandangan yang kemenangan kontrak ini hanya lebih bersifat sebagai sokongan operasi berbanding menjadi pemangkin pendapatan secara segera kepada kumpulan berkenaan.


Artikel berkaitan: Steel Hawk raih subkontrak pintu kalis api di Sabah selama hampir tiga tahun tanpa nilai tetap


Keadaan ini tambah TA Securities, memandangkan tiada sebarang nilai kontrak yang ditetapkan oleh pelanggan serta aliran kerja sebenar bergantung kepada arahan panggilan sepanjang tempoh kontrak.


"Bagaimanapun, penganugerahan tender ini mengukuhkan rekod prestasi Steel Hawk dalam kerja-kerja kejuruteraan yang berkaitan dengan aspek perlindungan kebakaran dan keselamatan awam," katanya.


Di samping itu, ia meningkatkan amaun buku tempahan syarikat di Sabah, dan kontrak ini juga tidak mendedahkan kumpulan kepada risiko operasi baharu kerana ia dalam teras kepakaran yang sedia ada.


Dari segi unjuran, TA Securities mengekalkan ramalan pendapatan bagi FY26 hingga FY27 berikutan kekurangan keterlihatan terhadap nilai sebenar kontrak berkenaan dan jumlah kerja ditetapkan.


Potensi peningkatan jelasnya, namun masih wujud sekiranya volum kerja secara atas panggilan itu melebihi jangkaan, khususnya jika aktiviti projek di Sabah meningkat sepanjang tempoh tersebut.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Steel Hawk dengan harga sasaran tidak berubah pada 37 sen sesaham, berdasarkan unjuran 8.5 kali pendapatan sesaham pada FY26," katanya.


TA Securities menambah, impak kewangan kontrak di Sabah itu meskipun dilihat sebagai kecil dalam tempoh terdekat, ia dilihat masih menyokong kestabilan hasil jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com