KUALA LUMPUR 20 Jan — Tekanan persaingan sengit dalam industri penapisan dan oleokimia di Indonesia terus menjadi isu kritikal menjejaskan prospek segmen pembuatan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).
Bagaimanapun, AmInvestment Bank masih berpandangan operasi perladangan kumpulan berkenaan adalah kekal berdaya tahan disokong faktor kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran tempatan.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham syarikat ini dan harga sasaran (TP) iaitu RM20.80 sesaham, berdasarkan andaian 18 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada CY26.
"Bagi syarikat perladangan bermodal besar seperti KLK, gandaan yang lebih rendah itu mencerminkan perubahan struktur berterusan dalam industri penapisan dan oleokimia," katanya dalam nota hari ini.
Menurut AmInvest, prospek segmen pembuatan kumpulan ini adalah kekal suram apabila margin dijangka terus tertekan akibat persaingan harga jualan serta perebutan bahan mentah dalam industri sawit.
Ia berikutan dua loji penapisan sawit berskala besar mula beroperasi di Indonesia pada akhir 2025, dengan kapasiti 500,000 tan setahun di Balikpapan, serta satu juta tan setahun di Lampung.
Sebaliknya, segmen perladangan KLK dijangka kekal penyumbang tunai utama, dan ia turut mengunjurkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dari perladangan naik 6% kepada RM2.4 bilion pada FY26.
"Ini disokong harga purata MSM yang lebih tinggi pada RM4,100 satu tan, dan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 4%, dengan Indonesia dijangka menyumbang 60%," kata AmInvest lagi.
Bagi segmen pembuatan yang merangkumi oleokimia, penapisan sawit, sarung tangan dan lantai kayu, ia menjangka situasi kerugian akan masih berterusan pada FY26, walaupun pada paras lebih kecil.
Jelas firma penyelidikan tersebut, KLK mungkin mencatatkan kerugian sekitar RM21 juta berbanding RM25.9 juta pada FY25, kerana disokong oleh peningkatan sederhana daripada pendapatan oleokimia.
Dalam perkembangan lain tambah AmInvest, kumpulan tersebut dijangka merekodkan keuntungan pelupusan tanah sekitar RM200 juta pada FY26 hasil daripada penjualan 61 hektar tanah di Ijok, Selangor.
"Pelupusan RM230.5 juta itu dijangka mengurangkan pinjaman dan membiayai modal kerja, namun tidak diambil kira dalam unjuran keuntungan teras pada FY26 kerana bersifat bukan teras," katanya.
Secara keseluruhan, ia melihat harga MSM yang kukuh sebagai faktor penstabil utama prestasi KLK, walaupun cabaran struktur dalam segmen pembuatan masih membayangi prospek. - DagangNews.com








