Tekanan kos pembinaan berisiko jejaskan Kerjaya Prospek, RHB Research kekal saran 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan kos pembinaan berisiko jejaskan Kerjaya Prospek, RHB Research kekal saran 'beli'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jan — Faktor tekanan kos pembinaan yang berpanjangan serta potensi kelembapan pasaran hartanah kekal menjadi antara risiko utama kepada prestasi Kerjaya Prospek Group Berhad.


Menurut RHB Research, meskipun kumpulan itu memulakan tahun kewangan dengan momentum kontrak yang baik, dua isu berkenaan sebenarnya dibimbangi boleh memberi kesan kepada pertumbuhan.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' tetapi harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM3.35 daripada RM3.45, yang masih menawarkan potensi kenaikan 21%, dan anggaran hasil dividen 4% bagi FY26.


"Bagaimanapun Kerjaya Prospek baru-baru ini masih berupaya meraih kontrak bernilai RM201 juta yang dijadual bermula pada 1 April dan dijangka menjana keuntungan," jelas firma penyelidikan itu.


RHB Research mengakui, tender baharu itu merupakan projek pertama syarikan bagi tahun ini, namun sudah meliputi 10% daripada sasaran pengisian semula kontrak dalaman yang berjumlah RM2 bilion.


Susulan kemenangan kontrak itu, buku tempahan terkumpulnya kini bernilai RM4.4 bilion, bersamaan nisbah perlindungan hasil sebanyak 2.5 kali, dengan margin keuntungan bersih dianggarkan 10%.

 

Artikel berkaitan: Kerjaya Prospek menang kontrak pembinaan 2 blok apartmen di Damansara Damai bernilai RM201.2 juta

 

Tambahnya, nilai tender aktif Kerjaya Prospek diramal RM2 bilion, dengan 50% terdiri transaksi pihak yang berkaitan, khususnya Kerjaya Prospek Property Berhad serta Eastern & Oriental Berhad.


"Kami menjangka sasaran pelancaran projek E&O bernilai RM1 bilion setahun berpotensi menjana RM500 juta nilai kontrak, selain peluang pakej kerja tambahan di Andaman Island," kata RHB Research.


Dalam tempoh panjang katanya, pembangunan bank tanah seluas 36 hektar, sebahagian besar terletak di Pulau Pinang, diramal menyokong kesinambungan pendapatan segmen hartanah kumpulan berkenaan.


Ia berpotensi meraih nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM3 bilion, manakala projek sedia ada seperti The Vue@Monterez dan Papyrus@North Kiara mencatatkan kadar pengambilan lebih 80%.


Bagaimanapun, RHB Research menyemak turun unjuran keuntungan Kerjaya Prospek bagi FY25 hingga FY27 antara 1% hingga 3%, susulan pengisian kontrak sebenar FY25 yang lebih rendah berbanding ramalan.


"Selepas pelarasan, TP baharu turut merangkumi premium amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2%, dengan kumpulan ini kekal sebagai antara pilihan utama sektor pembinaan," jelas firma itu lagi.


Ia disokong aliran projek stabil dan potensi meraih kontrak baharu, namun memberi amaran isu kelembapan pasaran hartanah dan tekanan kos berterusan kekal sebagai risiko utama. - DagangNews.com