Teka teki PRU16 tahun ini atau tahun depan akibatkan aliran turun naik jangka pendek di Bursa Malaysia - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teka teki PRU16 tahun ini atau tahun depan akibatkan aliran turun naik jangka pendek di Bursa Malaysia - Affin Hwang

Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Julai — Ketidaktentuan berhubung kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal dijangka terus mencetuskan aliran turun naik jangka pendek di Bursa Malaysia.

 

Affin Hwang Investment Bank namun berpandangan perkembangan tersebut hanya bersifat sementara sebelum sentimen pasaran kembali pulih apabila hala tuju politik negara mula menjadi lebih jelas.

 

Ujarnya, pasaran saham tempatan masih berdepan risiko pembetulan dalam masa terdekat jika pelabur semakin bimbang terhadap kemungkinan PRU16 dipercepatkan, di samping faktor geopolitik global.

 

"Situasi ini boleh memberi tekanan kepada sentimen pelaburan, dan kami menjangka PRU16 kemungkinan besar hanya berlangsung pada tempoh separuh kedua 2027," jelas analisis firma penyelidikan itu.

 

Pelaksanaan PRU16 dalam enam bulan terakhir tahun depan itu kata Affin Hwang, memberikan ruang kesinambungan dasar kerajaan dan projek pembangunan utama yang menyokong prestasi pasaran ekuiti.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'overweight' terhadap Bursa Malaysia walaupun menurunkan sasaran FBM KLCI kepada 1,780 mata daripada 1,830 mata sebelum ini berikutan isu ketidaktentuan global.

 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

Menurut firma itu, bursa dijangka terus bergerak tidak menentu sepanjang suku ketiga 2026, namun indeks penanda aras akan kembali kukuh menjelang hujung tahun apabila 'suhu' politik mula reda.

 

"Kami turut berpendapat kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor memberi kelebihan kepada negeri itu memacu pembangunan, dan positif terhadap kesinambungan agenda ekonominya," kata Affin Hwang.

 

Sementara itu, Tradeview Capital melihat reaksi awal pasaran terhadap keputusan pilihan raya Johor yang kekal neutral memandangkan keputusan tersebut secara umumnya memenuhi jangkaan para pelabur.

 

Ujarnya, tumpuan beralih kepada pilihan raya Negeri Sembilan sebagai petunjuk seterusnya sebelum membuat firma penyelidikan dapat menilai semula terhadap landskap politik negara menjelang PRU16.

 

Spekulasi mengenai PRU16 lebih awal masih berpotensi menjejaskan sentimen serta memperlahankan aliran masuk dana asing ke pasaran tempatan, dan kesan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

"Bagaimanapun, kami berpandangan minat terhadap saham-saham yang ada kaitan dengan perkembangan politik boleh meningkat jika keputusan memihak kepada BN," kata Tradeview Capital. - DagangNews.com