Techna-X batal pelan penyelesaian hutang RM1.17 juta menerusi penerbitan saham baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Techna-X batal pelan penyelesaian hutang RM1.17 juta menerusi penerbitan saham baharu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Julai - Techna-X Bhd membatalkan cadangan penyelesaian hutang bernilai RM1.17 juta menerusi penerbitan saham baharu selepas mencapai persetujuan bersama dengan pemiutang untuk menamatkan perjanjian penyelesaian yang dimeterai sebelum ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata pembatalan itu menyebabkan cadangan penerbitan sebanyak 77.71 juta saham penyelesaian yang diumumkan pada 26 Mei 2026 tidak lagi diteruskan.

 

Bagaimanapun, Techna-X akan meneruskan dua cadangan korporat lain yang diumumkan serentak sebelum ini, iaitu pengurangan modal saham sebanyak RM38 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul serta penempatan persendirian membabitkan sehingga 30% daripada jumlah saham terbitannya.

 

Syarikat itu turut membatalkan cadangan untuk menamatkan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) sedia ada dan menggantikannya dengan skim baharu, namun menjelaskan cadangan tersebut mungkin dipertimbangkan semula pada masa hadapan sekiranya bersesuaian.

 

Pengurangan Modal

Cadangan pengurangan modal dijangka menghapuskan kerugian terkumpul kumpulan sebanyak RM34.8 juta, sekali gus membolehkan Techna-X mencatat keuntungan terkumpul sebanyak RM2.71 juta setakat 31 Disember 2025.

 

Di peringkat syarikat pula, kerugian terkumpul sebanyak RM31 juta akan dihapus kira, meninggalkan keuntungan terkumpul berjumlah RM6.5 juta.

 

Sementara itu, penempatan persendirian dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM1.76 juta berdasarkan harga terbitan indikatif sebanyak dua sen sesaham.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.27 juta akan digunakan sebagai modal kerja, manakala baki RM489,000 diperuntukkan bagi membiayai kos pelaksanaan cadangan korporat berkenaan.

 

Saham-saham penempatan itu akan diterbitkan kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti pada peringkat kemudian.

 

Ini merupakan penempatan persendirian kedua syarikat dalam tempoh setahun selepas Techna-X berjaya mengumpul RM1.85 juta menerusi pelaksanaan penempatan persendirian yang selesai pada Julai 2025, dengan hasil kutipan digunakan bagi membayar hutang perdagangan dan membiayai modal kerja.

 

Kedudukan Modal Saham Terbitan

Selepas pelaksanaan pengurangan modal dan penempatan persendirian, modal saham terbitan Techna-X dijangka berkurangan kepada RM30.46 juta daripada RM66.7 juta, manakala jumlah saham terbitan meningkat kepada 382.08 juta berbanding 293.9 juta ketika ini.

 

Pada masa sama, nisbah penggearan syarikat dijangka bertambah baik kepada 0.38 kali berbanding 0.44 kali setakat akhir Disember 2025.

 

Bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2025, Techna-X merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM29.26 juta, meningkat daripada kerugian RM19.2 juta bagi tempoh 18 bulan sebelumnya, manakala hasil merosot 13% kepada RM81.47 juta berbanding RM93.66 juta.

 

Kerugian bersih daripada operasi berterusan turut melebar kepada RM42.28 juta berbanding keuntungan bersih RM4.78 juta sebelum ini.

 

Prestasi kewangan yang lemah itu berpunca daripada pelupusan perniagaan makanan dan minuman, hapus kira hutang lapuk, kerugian rosot nilai penghutang lain serta aset tidak ketara, kerugian daripada pelupusan anak syarikat dan perbelanjaan berkaitan ESOS. - DagangNews.com