Tawaran tidak menarik, Kenanga Research saran pemegang saham IJM Corp tolak cadangan Sunway | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran tidak menarik, Kenanga Research saran pemegang saham IJM Corp tolak cadangan Sunway

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – Kenanga Research meyifatkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat yang diterima IJM Corporation Bhd daripada Sunway Bhd sebagai kurang menarik dan perlu ditolak.

 

Tawaran itu melibatkan harga RM3.15 sesaham, terdiri daripada 10 peratus tunai dan 90 peratus pertukaran saham Sunway pada harga RM5.65 sesaham.

 

Kenanga Research berkata harga tawaran RM3.15 dianggap rendah kerana berada di bawah harga sasaran IJM Corp yang ditetapkan pada RM3.40 sesaham. 

 

“Komponen pertukaran saham juga menilai Sunway pada PER CY26F tinggi 27.6 kali berbanding 19.4 kali untuk IJM.

 

“Berdasarkan harga sasaran Sunway RM4.73, nilai tawaran bagi pemegang saham IJM hanya RM2.69 sesaham. Nilai ini lebih rendah daripada harga semasa IJM RM2.75 dan di bawah harga sasaran Kenanga Research RM3.40,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Walaupun penggabungan dengan Sunway boleh meningkatkan kecekapan operasi dan margin segmen pembinaan, serta memberi sinergi di sektor hartanah dan pembuatan industri, Kenanga Research menasihatkan pemegang saham untuk menolak tawaran tersebut.

 

Tawaran pengambilalihan dijangka diselesaikan menjelang suku ketiga 2026. 

 

Sunway tidak bercadang mengekalkan penyenaraian IJM jika syarat pemegang saham awam tidak dipenuhi.

 

RHB Research berkata IJM Corp mensasarkan antara RM6 bilion hingga RM8 bilion dalam penambahan tempahan kerja bagi tahun kewangan 2026. 

 

“Peluang besar termasuk tiga projek pusat data, dua projek industri, dan projek perumahan Nusantara bernilai lebih RM1 bilion.

 

“Pengurusan IJM juga menjangka menandatangani kontrak pusat data berskala besar tambahan menjelang akhir tahun kewangan 2026.

 

“Projek utama lain termasuk Penang LRT Mutiara Line (Pakej 2), Menara 118, pengembangan Lapangan Terbang Pulau Pinang, dan projek jalan di Sarawak,” kata firma itu.

 

Kenanga Research mengekalkan ramalan keuntungan IJM bagi FY26 dan FY27 berdasarkan jangkaan projek bernilai RM5 bilion setiap tahun. 

 

Harga sasaran berdasarkan pendekatan Sum-of-Parts kekal pada RM3.40 sesaham.

 

Segmen pembinaan IJM dinilai pada 22 kali CY27F PER, selaras dengan syarikat besar lain seperti Gamuda dan Suncon.

 

Tiada penyesuaian dibuat pada harga sasaran berdasarkan ESG, sejajar dengan penarafan ESG 3-bintang.

 

IJM kekal menarik untuk pelabur kerana penglibatannya dalam projek LRT Pulau Pinang, tempahan kerja bernilai RM9.3 bilion, jualan hartanah baru RM187 juta pada 1QFY26, dan Pelabuhan Kuantan yang merupakan pelabuhan terbesar di Pantai Timur.

 

Selain itu, potensi penjualan lebuh raya tol dapat meringankan baki hutang syarikat dan menjadi pemangkin re-rating bagi saham IJM. 

 

Risiko utama termasuk aliran projek pembinaan lemah, kos projek meningkat, dan liabiliti LAD. Prestasi kewangan FY26F menunjukkan pendapatan sekitar RM6.45 bilion, keuntungan bersih RM0.53 bilion, dan EPS teras 14.4 sen, meningkat 11.8 peratus berbanding FY25.

 


Nilai NTA sesaham dijangka RM2.85, PBV 0.96 kali, dan hasil dividen 2.9 peratus.

 

Projek pusat data IJM merangkumi enam projek bernilai antara RM0.25 bilion hingga RM1.40 bilion, melibatkan TM Technology, Pearl Computing, dan kerjasama bersama syarikat lain di Johor dan Pulai.

 

Penilaian Sum-of-Parts IJM dibuat dengan menilai setiap perniagaan secara berasingan, termasuk segmen pembinaan dan bahan binaan bernilai sekitar RM6.69 bilion, segmen hartanah RM3.84 bilion selepas diskaun 50 peratus RNAV, segmen pelabuhan berdasarkan pegangan 60 peratus bernilai RM1.28 bilion dan perniagaan lebuh raya tol sekitar RM1.77 bilion. 

 

Nilai keseluruhan ini kemudiannya ditolak dengan hutang bersih kira-kira RM1.16 bilion, menjadikan anggaran nilai IJM sekitar RM12.42 bilion atau bersamaan RM3.40 sesaham.

 


Justeru, Kenanga Research mengekalkan pandangan Outperform untuk IJM dan menasihatkan pemegang saham menolak tawaran pengambilalihan Sunway kerana harga tawaran yang kurang menarik. - DagangNews.com