KUALA LUMPUR 27 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah memberitahu kedua-dua negara akan menangani isu tarif terhadap semikonduktor “pada masa yang sesuai”.
“Buat masa ini, ia bukan satu isu,” kata Anwar dalam temu bual ringkas bersama Bloomberg News pada Isnin, selepas mengadakan perbincangan rasmi dengan Trump di Kuala Lumpur.
Trump sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif setinggi 300% terhadap import semikonduktor, satu langkah yang boleh memberi kesan besar kepada Malaysia — pengeksport cip keenam terbesar dunia. AS merupakan pasaran ketiga terbesar bagi eksport semikonduktor negara ini.
Menurut Anwar, pertemuan dengan Trump berlangsung dalam suasana positif.
“(Perbincangan) Ia baik lebih baik daripada jangkaan saya. Ia mencerminkan kepercayaan, persahabatan dan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan AS telah menandatangani perjanjian perdagangan baharu pada Ahad, yang mengekalkan kadar tarif ke atas barangan Malaysia pada 19%.
Perjanjian itu turut merangkumi komitmen Malaysia untuk melabur sebanyak AS$70 bilion (sekitar RM330 bilion) di AS dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Di samping itu, syarikat-syarikat Malaysia akan membeli barangan bernilai AS$150 bilion (kira-kira RM700 bilion) daripada firma-firma AS dalam tempoh lima tahun, termasuk semikonduktor, komponen aeroangkasa, peralatan industri dan kelengkapan pusat data.
Langkah tersebut dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global semikonduktor, ketika ketegangan antara AS dan China terus mengubah landskap perdagangan dunia.
Tahun lalu, Malaysia mengumumkan pelan pelaburan sekurang-kurangnya RM25 bilion untuk memperkukuh industri semikonduktor tempatan, dengan sasaran menggandakan nilai eksport kepada RM1.2 trilion menjelang 2030. - DagangNews.com








