KUALA LUMPUR 26 Sept - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, hari ini mengumumkan pelantikan Takashi Sakamaki sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
Sakamaki menggantikan Shinya Ikeda yang telah menerajui MMM sejak Oktober 2021.
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif antarabangsa, Sakamaki mempunyai kepakaran dalam strategi perniagaan, operasi eksport dan pembangunan pasaran di negara utama termasuk China, Indonesia dan Mexico.
Sepanjang kerjayanya bersama Mitsubishi Corporation (MC), beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk mengetuai pembangunan perniagaan, mengurus eksport CBU serta mengembangkan bekalan OEM dengan pengeluar automotif global.
“Adalah satu penghormatan untuk mengetuai Mitsubishi Motors Malaysia pada era yang penuh dinamik ini. Dengan warisan kukuh Mitsubishi di Malaysia serta dedikasi pasukan kami, saya yakin syarikat berada di landasan tepat untuk mengharungi cabaran baharu dan merebut peluang yang muncul.
"Dua dekad lalu, MMM ditubuhkan untuk mentakrif semula mobiliti di Malaysia. Hari ini, kami meraikan bukan sahaja perjalanan itu, tetapi juga kepercayaan setiap pemandu yang memilih Mitsubishi. Komitmen kami kekal utuh – menyediakan keselamatan, keselesaan dan ketenangan minda kepada pelanggan. Kami akan terus menawarkan gaya hidup mobiliti yang memuaskan dan mencetuskan semangat pengembaraan, berasaskan teknologi yang boleh dipercayai,” kata Sakamaki.

Di bawah kepimpinan Ikeda, MMM melancarkan Mitsubishi Triton generasi keenam serta memperkenalkan XPANDER versi facelift yang kini menjadi MPV bukan nasional terlaris di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada 2006 dan 2020, lebih 120,000 unit Triton dan 50,000 unit XPANDER telah terjual di pasaran tempatan, mencerminkan kedudukan kukuh Mitsubishi dalam memenuhi cita rasa pemandu Malaysia. - DagangNews.com








