KUALA LUMPUR 19 Jan – Malaysia Aviation Group (MAG) melalui Malaysia Airlines dan Firefly menawarkan tambang tetap sehala sempena Tahun Baharu Cina bagi perjalanan antara 11 hingga 23 Februari 2026 ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
MAG dalam satu kenyataan memaklumkan harga tiket bermula RM339 ke Sarawak dan RM399 ke Sabah bagi Malaysia Airlines, manakala Firefly menawarkan harga bermula RM298 ke Sarawak dan RM348 ke Sabah.
“Tempahan dibuka dari 20 Januari hingga 23 Februari untuk Malaysia Airlines dan 20 Januari hingga 22 Februari untuk Firefly, dengan destinasi termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kuching, Bintulu, Sibu, Miri dan Labuan.
“Malaysia Airlines juga akan menambah sehingga 32 penerbangan malam tambahan dari KLIA Terminal 1 ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak, yang membolehkan penumpang tiba awal pagi dan menjimatkan masa perjalanan sepanjang musim perayaan,” kata MAG dalam kenyataan tersebut.
Sepanjang tempoh perayaan, Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 503 penerbangan mingguan ke Malaysia Timur, memperkukuh sambungan domestik dan memberikan lebih pilihan perjalanan bagi penumpang.
Kedua-dua syarikat penerbangan menyediakan bagasi berdaftar percuma, hidangan ringan dalam penerbangan, serta fleksibiliti menukar penerbangan bagi kategori tambang tertentu.
Firefly beroperasi dari KLIA Terminal 1 dan Lapangan Terbang Subang (SZB), sementara penumpang Malaysia Airlines yang membuat sambungan akan mendapat bagasi terus ke destinasi akhir serta hidangan termasuk dalam tambang, memastikan perjalanan lancar dari awal hingga ke destinasi.
MAG juga menyokong inisiatif subsidi tambang kerajaan sempena Tahun Baru Cina dengan mengehadkan tambang maksimum.
“Bagi perjalanan 13 hingga 16 Februari 2026, tambang asas Malaysia Airlines dihadkan RM569 all-in sehala dan Firefly RM548 all-in sehala.
“MAG komited untuk memudahkan rakyat Malaysia pulang ke kampung dengan menyediakan sambungan penerbangan yang lebih baik dan pilihan perjalanan yang selesa,” katanya.
Tambang yang dinyatakan tidak termasuk cukai dan yuran kerajaan.
Kualiti perkhidmatan tetap diberi fokus utama di setiap peringkat, termasuk pengendalian bagasi, makanan dan kemudahan fleksibel, bagi memastikan perjalanan lancar dan menyenangkan sepanjang musim perayaan.
Langkah ini dijangka membantu rakyat Malaysia mengelak kesesakan waktu siang dan memberi fleksibiliti pilihan penerbangan pada musim puncak.
Selain itu, penerbangan malam memberi peluang ketibaan awal pagi bagi penumpang yang ingin terus menyambung perjalanan atau mempunyai urusan lain di destinasi. MAG menegaskan bahawa kedua-dua syarikat penerbangan akan terus memberikan pengalaman perjalanan yang selesa dan menyeluruh sepanjang tempoh perayaan itu. - DagangNews.com








