Taghill sahkan petisyen penggulungan terhadap unit SIAB melibatkan tuntutan RM81,632.18 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taghill sahkan petisyen penggulungan terhadap unit SIAB melibatkan tuntutan RM81,632.18

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Taghill Holdings Bhd mengesahkan satu petisyen penggulungan telah difailkan terhadap anak syarikatnya, SIAB (M) Sdn Bhd berhubung dakwaan tunggakan bayaran berjumlah RM81,632.18 yang berkaitan dengan sewaan perancah serta perkhidmatan berkaitan.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersenarai Pasaran ACE itu berkata, petisyen tersebut difailkan oleh KK Scaffolding Sale & Rental Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Jan dan telah diserahkan kepada SIAB tiga hari kemudian.

 

Menurut Taghill, pihaknya menerima notis petisyen berkenaan pada 26 Jan. Petisyen itu difailkan di bawah Seksyen 465(1)(e) dan 466(1)(a) Akta Syarikat 2016, yang memohon supaya SIAB digulung.

 

Taghill berkata, SIAB yang mempunyai jumlah kos pelaburan sebanyak RM60.73 juta, bukan merupakan anak syarikat utama kumpulan.

 

“Syarikat tidak menjangkakan petisyen ini akan memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan, memandangkan jumlah tuntutan adalah tidak signifikan,” katanya.

 

Tambahnya, selain kos guaman dan perbelanjaan berkaitan, syarikat tidak menjangka akan menanggung sebarang kerugian lanjut susulan petisyen tersebut.

 

Pengurusan kes telah ditetapkan pada 26 Feb menerusi e-Review, manakala pendengaran petisyen dijadualkan pada 2 April. 

 

SIAB telah melantik peguam dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara tersebut. - DagangNews.com