KUALA LUMPUR 16 Julai — TA Securities yakin tekanan kenaikan kos operasi yang dihadapi PGF Capital Berhad susulan berlaku lonjakan harga gas asli cecair (LNG) ketika ini hanya bersifat sementara.
Katanya, meskipun situasi itu dijangka meningkatkan kos pengeluaran dalam tempoh terdekat, asas perniagaan kumpulan kekal stabil, disokong faktor permintaan kukuh bagi produk penebat bulu kaca.
Pada masa sama, syarikat berkenaan dilihat berkeupayaan memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pelanggan serta prospek pertumbuhan positif daripada kapasiti baharu dan pembangunan hartanah.
"Walaupun unjuran keuntungan bagi FY27 dan FY28 disemak, asas perniagaan PGF masih teguh dengan pengembangan kapasiti pengeluaran dijangka tumbuh dalam tempoh sederhana," kata TA Securities.
Justeru, firma itu menganggarkan keuntungan teras pada suku pertama FY27 dalam lingkungan RM8 juta, bersamaan 26% hingga 34% daripada unjuran keuntungan setahun yang sudah pun disemak semula.
Menurutnya, hasil dijangka stabil disokong permintaan terhadap produk penebat bulu kaca daripada pelanggan di Australia, walaupun kos pembungkusan bertambah akibat peningkatan harga bahan api.

PGF ujar TA Securities, masih mampu mengekalkan daya saing kerana isu itu turut dialami pengeluar bulu kaca lain di rantau ini, dan membolehkan pemindahan kepada pembeli melalui pelarasan harga.
"Kilang baharu di Kulim, Kedah yang dijangka siap pada 1QFY27 dijadual memulakan pengeluaran pada September 2026 selepas berlaku kelewatan pemasangan bekalan elektrik dan gas," jelas firma itu.
Sehubungan itu, ia menurunkan andaian kadar penggunaan kapasiti FY27 kepada 50% berbanding 62% sebelum ini, sekali gus menjadi antara faktor utama semakan semula unjuran pendapatan syarikat.
Dengan diambil kira pelbagai faktor, TA Securities menurunkan unjuran keuntungan PGF bagi FY27 dan FY28 masing-masing 33.1% dan 12.2%, selain harga sasaran (TP) turun kepada RM2.73 daripada RM2.90.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'beli' kerana percaya kesan kenaikan kos akibat konflik Timur Tengah hanyalah sementara dan asas perniagaannya yang masih lagi kukuh. - DagangNews.com








