KUALA LUMPUR 9 Jun – QL Resources Berhad mula melaksanakan pelaburan besar bernilai RM1.3 bilion bagi membangunkan hab pembuatan makanan bersepadu di Perak, kata nota analisis TA Securities.
Usaha itu dinilai firma tersebut sebagai langkah strategik yang dijangka mengukuhkan kedudukan dalam industri makanan bernilai tambah dan menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan jangka panjang.
Projek QL InnoFood Park seluas 40 hektar di Hutan Melintang itu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan secara signifikan dan membolehkan syarikat memanfaatkan permintaan yang semakin tinggi.
"Ini terutama produk makanan sedia dimakan (RTE) dan sedia dimasak (RTC) kerana ia menempatkan 13 fasiliti pengeluaran dengan kapasiti sehingga 130,000 tan setahun, jelas TA Securities lagi.
Perkembangan positif berkenaan ujar firma penyelidikan itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran anak syarikatnya, QL Foods Sdn Bhd kepada 180,000 tan setahun berbanding 50,000 tan ketika ini.
Pembangunan hab ini dilaksanakan berperingkat dalam tempoh 10 tahun dengan fasa pertama melibatkan pelaburan RM300 juta untuk pembangunan infrastruktur utama termasuk kemudahan stor sejuk baharu.
TA Securities berkata, segmen pembuatan produk marin (MPM) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan QL Resources dengan kapasiti produk berasaskan surimi dijangka meningkat 15,000 tan menjelang FY28.
"Dalam jangka panjang, kumpulan merancang pelbagai produk kepada makanan berasaskan soya, ayam dan tepung bagi perluas sumber hasil serta mengurangkan kebergantungan kepada produk surimi," ujarnya.

Selain itu jelasnya, segmen 'palm oil and clean energy' (POCE) terus mencatat prestasi stabil pada FY27, disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada projek tenaga bersih BM Greentech.
Pemulihan permintaan terhadap projek tenaga solar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan kata TA Securities, turut dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan QL Resources sendiri.
Bagi segmen 'integrated livestock farming' (ILF), firma itu menjangka prestasi berdaya tahan hasil kestabilan harga telur di Indonesia, peningkatan produktiviti serta pemulihan harga produk.
"Pada masa sama, strategi kumpulan ini yang meningkatkan jualan telur berjenama dengan menawarkan margin lebih tinggi dijangka terus menyokong keuntungan kumpulan," kata firma penyelidikan itu.
Di samping itu ujar TA Securities, segmen rangkaian kedai serbaneka (CVS) pula dijangka meneruskan pengembangan dengan sasaran membuka 60 cawangan FamilyMart dan 80 unit FM Mini setiap tahun.
Walaupun sentimen pengguna dan tekanan kos kekal mencabar QL Resources, ia berpandangan langkah berterusan serta peningkatan produktiviti akan membantu mengekalkan prestasi segmen tersebut.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM4.18 sesaham daripada RM4.05 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan kumpulan berkenaan.
TA Securities menjangka prospek FY27 kekal positif disokong oleh pertumbuhan stabil dalam semua segmen teras, yang bakal mengukuhkan asas pendapatan syarikat pada masa hadapan. - DagangNews.com








