TA Research yakin Tune Protect bakal catat prestasi kewangan lebih kukuh pada separuh kedua 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Research yakin Tune Protect bakal catat prestasi kewangan lebih kukuh pada separuh kedua 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Mei - Walaupun mencatatkan keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26) yang lebih sederhana, prospek Tune Protect Group Berhad kekal positif dengan jangkaan pemulihan lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, dipacu pengukuhan segmen insurans am serta pemulihan beransur-ansur industri perjalanan.

 

TA Research dalam nota hari ini berkata prestasi kumpulan masih berada dalam jangkaan walaupun terjejas oleh kelembapan segmen perjalanan dan perubahan campuran perniagaan.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan momentum lebih baik pada 2H26, disokong pemulihan permintaan perjalanan serta pertumbuhan berterusan dalam segmen bukan perjalanan yang lebih stabil.

 

Bagi 1Q26, Tune Protect Group Berhad merekodkan keuntungan bersih RM3.3 juta, mewakili 17.4% daripada unjuran tahun penuh TA Research, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 84.2% kepada RM1.7 juta.

 

Menurut TA Research, kelemahan ini dipengaruhi oleh peningkatan nisbah gabungan kepada 98.5%, selain peralihan portfolio ke arah perniagaan bukan perjalanan yang mempunyai corak pengiktirafan premium lebih panjang.

 

Segmen perjalanan kini merangkumi 37% daripada portfolio berbanding 42% setahun lalu, mencerminkan usaha kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan kepada segmen yang lebih tidak stabil dan bermusim.

 

Insurans am jadi pemacu utama, segmen motor terus cemerlang

Sementara itu, TA Research menekankan segmen insurans am kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan perniagaan motor mencatat pertumbuhan kukuh 23.3% tahun ke tahun pada 1Q26, disokong permintaan kenderaan persendirian serta peluasan kerjasama strategik.

 

Dalam pada itu, pendapatan pelaburan susut 46.9% kepada RM4.3 juta, mencerminkan keadaan pasaran bon yang lebih mencabar, namun penganalisis menjangkakan normalisasi secara berperingkat seiring kestabilan kadar faedah global.

 

TA Research turut menyifatkan kelemahan jangka pendek dalam segmen perjalanan sebagai sementara, dengan jangkaan pemulihan apabila ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah berkurangan dan perjalanan antarabangsa kembali normal.

 

Firma itu mengekalkan saranan “Buy” terhadap Tune Protect Group Berhad dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.38 sesaham, sambil menekankan potensi pemulihan pendapatan pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com