T7 Global dijangka raih hasil RM64 juta daripada projek Zuhal East - Philip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global dijangka raih hasil RM64 juta daripada projek Zuhal East - Philip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Jan - T7 Global Bhd (T7G) dijangka meraih sumbangan hasil sekitar RM64 juta susulan penganugerahan perintah kerja oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) bagi projek penamatan telaga Zuhal East, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam segmen perkhidmatan telaga luar pesisir, menurut Philip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perintah kerja tersebut merupakan sebahagian daripada program 53 telaga PCSB di bawah sub-pakej B3 kontrak kerja bersepadu Pan-Malaysia (PAC) selama tiga tahun, yang meliputi perkhidmatan peningkatan pengeluaran dan penamatan telaga.

 

"Berdasarkan anggaran, projek berkenaan melibatkan tujuh telaga dengan kos sekitar RM9 juta setiap satu serta margin keuntungan bersih kira-kira 9%, yang dijangka menyumbang hasil RM64 juta dan keuntungan bersih sekitar RM6 juta kepada kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Philip Capital, kerja-kerja penamatan telaga itu dijangka dilaksanakan menggunakan pelantar jack-up TSeven Enya, yang diunjurkan mencatatkan kadar penggunaan hampir penuh, iaitu sekitar 98% bagi tahun kewangan 2026.

 

Pengurusan T7G memaklumkan bahawa sebanyak 18 telaga disasarkan untuk disiapkan pada 2025, dengan jumlah yang sama dijangka dapat dilaksanakan pada 2026, mencerminkan kadar pelaksanaan yang konsisten.

 

Katanya, prospek jangka sederhana T7G kekal positif, disokong oleh aktiviti penamatan telaga yang berterusan dalam industri minyak dan gas tempatan.

 

Menurut laporan PETRONAS Activity Outlook (PAO) 2025–2027, kira-kira 153 telaga dirancang untuk dinyahoperasi sepanjang tempoh tersebut, bersamaan purata sekitar 51 telaga setahun. Perkembangan ini membuka peluang kepada T7G untuk memperoleh kontrak tambahan pada 2026 dan 2027.

 

Bagaimanapun, pasaran masih menantikan penerbitan PAO 2026–2028 bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju aktiviti industri serta potensi pertumbuhan kumpulan dalam jangka sederhana.

 

Sehubungan itu Philip Capital mengekalkan saranan HOLD terhadap saham T7G dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.32 sesaham, mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar lima kali bagi tahun kewangan 2026.

 

Unjuran pendapatan kumpulan bagi tempoh ramalan dikekalkan tanpa perubahan, memandangkan sumbangan daripada kontrak yang diperoleh telah pun diambil kira dalam andaian hasil. Penilaian tersebut adalah berdasarkan kaedah jumlah bahagian (sum-of-parts, SOP).

 

Menurut Philip Capital lagi, T7G terus berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada aktiviti domestik dan luar pesisir yang kekal kukuh, disokong oleh buku pesanan yang sihat dianggarkan sekitar RM4 bilion.

 

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 90% disumbangkan oleh segmen tenaga manakala baki 10% datang daripada segmen penyelesaian industri (IS), sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang kepada kumpulan.

 

Bagaimanapun, beberapa risiko utama masih wujud, termasuk kemungkinan perolehan perintah kerja yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada jangkaan, kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan projek BHS serta kos operasi yang berbeza daripada anggaran. - DagangNews.com